J IKA menoleh ke masa 17 tahun lalu menyaksikan Mimifly menggerakkan aliran hip hop dan tarian pop tempatan bersama kumpulan muzik One Nation Emcees, dia ketika itu naik bersama-sama mereka, namun, bintangnya tidak segemerlap yang kita lihat hari ini.
Mimi masih bersama kumpulan berkenaan menerbitkan beberapa lagu energetik berawal hit dan fenomena Raja Gelek, kemudian disusuli Apa Ku Kisah, Syukur (Kau Yang Satu), Dendangkan, Bisikan Cinta yang dimuatkan dalam album extended-play (EP).
Beberapa lagu menyusul seperti Hoi Ya Hoi (2014) dan Selamanya Sayang (2017), satu gabungan hip hop dengan elemen tradisional sebelum tampil dengan produk solo seperti Enigma, Superfly, Buaya dan Hujan.
Namun, single itu cukup sekadar karya sekilas dengar dan bukan antara produk paling memberi impak sehingga diiktiraf sebagai lagu fenomena dalam sejarah hip hop dan pop Malaysia.
Langkah bermuzik Mimi dan penerimaan pendengar terhadap karya-karyanya boleh disifatkan sebagai biasa-biasa sahaja, sehinggalah dua lagu baharunya, Angkat (Disember 2024) dan Serumpun (lagu bertemakan Aidilfitri) mengubah landskap muzik Mimi ke satu tahap yang boleh dibanggai dan dikenang-kenang.
Dalam kebanyakan lagu Aidilfitri terbit tahun ini, Serumpun akhirnya membayangi dan menenggelamkan lagu-lagu lain beredar dalam garis masa terlalu dekat.
Ada pun pesaing utama kepada Serumpun adalah Meriah Lain Macam (Hael Husaini & Nadeera) dan Raya Nak Ke Mana? (Datuk Seri Siti Nurhaliza) dan Raya Pum Pang (Fazura & Syasya Rizal), manakala selebihnya hanya berperanan sebagai pengisi suasana Aidilfitri 2025.
Serumpun terhasil dalam satu jalinan produksi cukup cemerlang persembahannya terutama dari segi koreografi dan busana yang diperagakan.
Hanya masalahnya apabila produksi Mimi amat kedekut memberi masa tambahan untuk satu lagu dan muzik video yang sempurna selain tidak lebih sekadar Angkat 2.0. Mimi berani keluar daripada kebiasaan dalam penghasilan lagu-lagu Aidilfitri saban tahun.
Maka, tidak hairan mengapa Serumpun menjadi antara karya pilihan kerana Mimi sudah keluar daripada ruangan itu dan membawa acuan muziknya.
Pun begitu, ini bukan isunya. Oleh kerana Mimi sudah bergerak seorang sendiri dan keluar daripada kumpulannya, dia saya kira masih memerlukan satu identiti dan persembahan yang tidak menggambarkan One Nation Emcees secara keseluruhan baik dari segi komposisi muzik, lirik dan nyanyiannya.
Saya tidaklah terkejut dengan corak yang dia hasilkan, kerana format muziknya masih menggambarkan ciri-ciri One Nation Emcees, bukannya jenama Mimifly itu sendiri. Dia mengulang formatnya dalam lagu terdahulu bersama One Nation Emcees berjudul Selamanya Sayang yang beredar tujuh tahun lalu dan masih menggunakan bahasa gibberish dalam kedua-dua lagu Serumpun dan Selamanya Sayang, berbunyi: “ging ging gang goolie goolie watcha” – satu bahasa yang tidak dapat difahami, tidak masuk akal, atau tidak bermakna yang sudah banyak digarap dalam lagu-lagu tempatan dan antarabangsa.
Selain itu, jika Angkat lah menjadi ukuran kepada kejayaan komersial bermuzik Mimi selama ini, ia pula hanyalah lagu adaptasi longgar dan masih belum boleh berdiri sendiri kerana bersandar kepada kekuatan lagu Angkat Kaki nyanyian penyanyi dangdut, Sheeda.
Namun, saya menghargai bakat dan suara Mimi, di sebalik keselesaan dan kekuatannya mempersembahkan lagu-lagu hip hop dan energetik, namun, dia mahir menyeimbangkan persembahan dengan cara hidup berserumpun, miliki elemen kemelayuan dan mendayu-dayu kerana alunannya tidak kedengaran keras dan kekok.
Maka, saya mahu melihat pula dia menyanyikan lagi genre balada yang benar-benar kuat kerana saya percaya, dia boleh melakukan lebih dari yang dia ada sekarang.
Apabila M. Nasir sebelum ini memberitahu, lagu sekarang catchy dan ada tarikan tersendiri, namun tiada kesyahduan dan keheningan raya, saya faham apa yang beliau maksudkan walaupun tidak merujuk kepada satu lagu khusus.
Jujur, memang Serumpun lahir di atas jaluran muzik tempatan yang gah penghasilannya. Namun, setelah bermuhasabah dengan kata-kata M. Nasir itu, saya musykil dan tidak merasai getaran untuk mengangkat Serumpun sebagai lagu Aidilfitri yang akan mempunyai kelangsungan panjang.
Entah lagu Alamak Raya Lagi (De Fam) getarannya masih sama untuk tahun ini, terus relevan atau sebaliknya?