Segera buat aduan jika tahu laluan paip gas diceroboh

Segera buat aduan jika tahu laluan paip gas diceroboh

KEADAAN terkini kawasan perumahan di Jalan Putra Harmoni, Subang Jaya, Selangor yang terjejas akibat letupan paip gas ketika tinjauan pada hari keenam insiden. UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Orang ramai dinasihatkan untuk segera membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya mereka mendapati wujudnya sebarang aktiviti pencerobohan yang boleh memberikan risiko kepada laluan paip gas berhampiran kawasan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, aduan awal termasuk kepada pemilik laluan paip gas itu perlu diutamakan berbanding mereka hanya menularkan video atau gambar di media sosial.

Jelasnya, tindakan menularkan dakwaan pencerobohan ke atas laluan paip gas terutamanya di lokasi berhampiran penempatan hanya akan menimbulkan kebimbangan kepada penduduk.

“Seperti yang tular semalam, projek sudah hampir setahun, kerja-kerja tanah pula sudah mengambil masa berbulan-bulan. Jadi, apabila kita datang dan pantau semula, memang kerja dilaksanakan di kawasan tanah pemaju, tiada pencerobohan.

“Permit juga malahan telah diberikan oleh pemilik laluan gas mengikut fasa dan pihak pemaju juga didapati telah mematuhi peraturan yang ditetapkan berkenaan. Laluan paip gas ini pula sejajar dengan jalan dan terletak dalam rizab jalan.

“Apabila ada berlaku isu di Putra Heights, ramai anggap ada pencerobohan. Kita sambut baik respon masyarakat tetapi kena siasat dulu sebelum tularkan. Boleh adu ke Gas Malaysia, mereka pun terima aduan 24 jam,” katanya ketika ditemui pemberita di Sendayan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau dilaporkan meminta PBT yang terlibat untuk menyiasat dan melakukan pemeriksaan berhubung video tular di media sosial yang memaparkan kerja pembinaan projek perumahan baharu berhampiran dengan laluan paip gas yang didakwa berlaku di Sendayan di sini.

Beliau juga telah meminta pihak berwajib untuk memeriksa sama ada kerja-kerja berkenaan sudah memasuki rizab jalan ataupun tidak.

Video berdurasi 28 saat di media sosial memaparkan projek pembinaan taman perumahan baharu yang didakwa berlaku di Sendayan di sini dan berhampiran dengan laluan paip gas.

Video berkenaan menimbulkan reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang bimbang kejadian letupan dan kebakaran saluran paip gas seperti di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor minggu lalu akan berulang.

Sementara itu, Arul Kumar berkata, tindakan menularkan sesuatu perkara itu hanya wajar dilakukan selepas tiada tindakan dibuat walaupun aduan telah disalurkan.

Bagaimanapun beliau mengharapkan kesedaran orang ramai akan meningkat terhadap kepentingan menjaga laluan paip gas daripada diceroboh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya