PUTRAJAYA: Malaysia bersedia dan menyokong sepenuhnya usaha bagi mewujudkan Rangkaian Kereta Api Pan-Asia (Pan-Asia Railway Network) menghubungkan Malaysia ke Kunming, China.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau sendiri akan bertemu rakan sejawatannya di Bangkok, Thailand awal bulan depan bagi membincangkan pembangunan rangkaian kereta api itu.
Beliau berkata, Malaysia telah membayangkan pembinaan rangkaian kereta api itu sejak tiga dekad lalu, namun ia tidak pernah direalisasikan disebabkan beberapa sambungan yang hilang dan bahagian laluan yang tidak dapat diakses.
“Idea mewujudkan rangkaian kereta api rentas negara itu pernah dicetuskan Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak 30 tahun lalu.
“Buat masa ini, dari Malaysia ke China, laluan kereta api boleh dilalui, tetapi halangan utama adalah apabila melintasi negara-negara yang berbeza dan pastinya terdapat pelbagai sekatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Apresiasi Pelanggan dan Hari Terbuka Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di sini, semalam.
Katanya, kerajaan secara dasarnya sedang melengkapkan infrastruktur rangkaian kereta api di negara ini, malah ia hampir siap sepenuhnya dengan hanya bahagian di Johor yang masih belum disiapkan.
Anthony berkata, jika ia berjaya dilaksanakan kelak, laluan itu akan menjadi sangat strategik untuk Malaysia kerana bukan sahaja untuk keperluan domestik tetapi perjalanan kargo.
Menurutnya, laluan itu kelak akan menjadi medium hubungan perdagangan ASEAN yang bermula dari Singapura ke China.
“Sebaik sahaja kargo tiba di China, rangkaian kereta api di republik itu akan membuka akses ke mana-mana bahagian dalam negara itu dan seterusnya bersambung ke Euro Asia serta Eropah,” ujarnya.
Sementara itu, dalam ucapannya, Anthony berkata, pelaksanaan rangkaian kereta api itu adalah salah satu perkara utama diketengahkan Presiden China, Xi Jinping sebagai sebahagian daripada komitmen China untuk membangunkan bersama Koridor Darat-Laut.
Katanya, Malaysia juga boleh memanfaatkan pasaran halal di Xinjiang memandangkan ia didiami ramai umat Islam. – UTUSAN