PETALING JAYA: Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang dilancarkan pada 2008 bagi merancakkan perkembangan ekonomi, antara jasa Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada rakyat Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, SDC adalah antara lima koridor ekonomi yang dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tempoh Abdullah menjadi Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009.
“Projek ini memberi banyak manfaat dalam pembangunan negeri kerana ia juga disasar menjadikan negeri ini lebih celik teknologi dan sebagai negeri yang selesa untuk didiami, harmoni tanpa mengira bangsa serta agama.
“Projek SDC bertujuan menjadikan Sabah pintu masuk untuk perdagangan, pelaburan dan pelancongan serta mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan.
Perdana Menteri Kelima itu menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) malam tadi, akibat masalah pernafasan. – UTUSAN