PETALING JAYA: Sentiasa kelihatan ceria dan tenang, penyanyi, Adira Suhaimi mendedahkan dirinya tidak pernah beraya dengan arwah bapanya, Suhaimi Rajiman sejak kecil.
Menurut Adira, meskipun tidak pernah merasai pengalaman beraya bersama, ibunya tetap mendidik dia bersama adik-beradiknya untuk menjaga hubungan baik dengan bapanya ketika hayatnya masih ada.
“Saya tidak pernah beraya dengan bapa saya. Mereka sudah bercerai sejak dari saya lahir lagi. Saya memang hanya tinggal dengan ibu sahaja. Saya okay saja.
“Tetapi ibu saya tetap mendidik kami adik-beradik untuk tidak berdendam dengan dia. Ibu saya sering berpesan untuk tetap menjaga hubungan baik dengan dia,” katanya.
Sedar situasi yang dialami ibunya sama seperti nasibnya kini, Adira juga tidak menghalang anak-anaknya untuk beraya bersama bekas suaminya, Datuk Red atau Datuk Seri Adnan Abu.
Kata Adira, anak-anaknya juga masih kecil dan belum memahami situasi yang berlaku di antara dia dan bekas suami.
“Sebenarnya, mereka okay saja. Mereka juga tidak faham apa yang berlaku antara kami. Yang anak-anak saya tahu hanyalah mahu beraya, duit raya dan balik kampung.
“Saya hanya ikut rentak mereka. Sekarang pun saya tinggal bersama keluarga dan ambil pendekatan untuk sibukkan diri.,” jelasnya.
Sekadar maklumat, bapa Adira telah meninggal dunia pada Mac 2019 akibat kegagalan organ dalaman.-UTUSAN