PONTIAN: Walaupun berstatus Ketua Kampung, Abdollah@Azman Mohamed, 55, bersyukur apabila terpilih sebagai salah seorang penerima program Rumah Kasih Johor (RKJ) selepas 23 tahun tinggal di rumah sewa.
Mengakui serba salah apabila ditawarkan RKJ oleh Penghulu Mukim Air Masin, namun setelah menerima pandangan pelbagai pihak, beliau bersetuju menerima rumah tersebut kerana tidak mampunyai rumah sendiri.
“Saya bimbang dengan pelbagai tanggapan negatif daripada pelbagai pihak, bagaimana ketua kampung boleh dapat RKJ, sepatutnya diberi kepada anak buah dahulu.
“Saya ambil sikap berlapang dada, mungkin sudah rezeki saya menerima RKJ berdasarkan beberapa kriteria tertentu seperti tiada rumah dan masih menyewa,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kawasan (2) Mukim Air Masin itu ketika ditemui di Jalan Makam, Kampung Penerok, di sini.
Kunci rumah tersebut diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.
Abdollah yang berniaga makanan pada waktu malam berkata, rumah tersebut yang dibina di atas tapak tanah pusaka milik keluarganya mempunyai tiga buah bilik dan sebuah bilik air akan mula didiami dalam masa terdekat.
Beliau yang mempunyai empat anak lelaki berusia 17 hingga 26 tahun, termasuk seorang masih bersekolah berharap kediaman itu dapat memberikan mereka keselesaan.
“Selama 23 tahun saya menyewa rumah dengan bayaran RM300 sebulan dan belum berkemampuan untuk membuat rumah sendiri,” katanya. – UTUSAN