PUTRAJAYA: “Saya sahkan bahawa saya pernah beberapa kali pada tahun 2014 hingga 2015 telah melakukan deposit tunai secara kaunter ke dalam akaun Ambank milik DSNR (Datuk Seri Najib Razak) di Ambank Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.”
Itu kenyataan yang diberikan oleh ahli perniagaan, Kee Kok Thiam yang turut dikatakan sebagai sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low kepada pihak berkuasa sekembalinya dia ke Malaysia selepas menghilangkan diri selepas pendedahan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kenyataan itu yang dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair itu disahkan oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dari Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Raywell Andorah ketika sesi pemeriksaan balas perbicaraan kes tersebut.
Rakaman percakapan itu dibuat pada 3 Mei 2023.
Saksi pembelaan ke-18 itu juga mengesahkan bahawa ketika beliau merakamkan percakapan Kok Thiam, lelaki terbabit menyatakan bahawa Jho Low ada memberitahunya sekiranya Najib disiasat (berhubung penyelewengan dana 1MDB), dia juga akan disiasat kerana pernah mendepositkan wang ke dalam akaun Najib.
Deepa: (Dalam keterangannya), Kok Thiam turut memberitahu bahawa mereka takut Najib akan disiasat. Dia juga beritahu bahawa Jho Low meminta mereka agar tidak pulang ke Malaysia. Raywell: Benar.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Kok Thiam telah meninggal dunia sekitar Mei 2023, hampir sebulan selepas dihantar pulang ke Malaysia daripada Macau selepas tinggal lebih masa di negara itu.
Firma guaman, Valen, Oh & Partners yang mewakili keluarga mendiang dalam satu kenyataan menyatakan Kok Thiam meninggal dunia di sebuah hospital akibat strok.
Dalam perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd., saksi pembelaan kedua, bekas Pegawai Perhubungan Ambank, Krystle Yap Wy Sze dalam keterangannya menyatakan bahawa dia telah diarahkan untuk membantu mempercepatkan transaksi perbankan sekutu Jho Low iaitu Kok Thiam untuk `potong barisan’ dan memindahkan sejumlah besar wang ke dalam akaun Najib.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah atas tuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.
Sementara itu, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan dalam keterangannya sebelum ini turut menyatakan bahawa Jho Low akan menjadikan `hidupnya seperti dalam neraka’ sekiranya dia pulang ke Malaysia.
Ai Swan dalam keterangannya tahun lalu, berkata beliau sudah berada di Bangkok, Thailand apabila keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di mana kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib mengalami kekalahan.
Terdahulu, keadaan menjadi sedikit tegang apabila peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyoal saksi pembelaan ke-16, Penolong Pendaftar Bahagian Pendaftaran Mahkamah Majistret (Jenayah) Kuala Lumpur, Nabilla Md.Yusof berhubung waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah terhadap Ai Swan.
Nabilla bagaimanapun memberitahu, berdasarkan dokumen yang telah dikemukakan kepada mahkamah, beliau hanya boleh memberitahu mengenai pengeluaran waran dan bukannya status pelaksanaan waran tersebut.
Dilihat seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, Muhammad Shafee terus mengasak saksi berkenaan sehingga Hakim Datuk Collin Lawrence terpaksa mencelah.
“Berikan pencerahan kepada saya bagaimana keterangan saksi ini boleh membantu kes awak, pembelaan awak? Apa relevannya?.
“Saksi telah menyatakan bahawa dia tidak tahu dan tidak boleh menjawab soalan. Jasmine Loo telah dipanggil memberi keterangan di mahkamah dan awak sendiri telah menyoal balas saksi berkenaan, jadi bagaimana ini (keterangan Nabilla) boleh membantu pihak pembelaan?,”kata hakim tersebut.
Perlu dinyatakan bahawa pegawai-pegawai penyiasat yang terlibat dalam skandal penyelewengan ini telah dipanggil memberi keterangan dan telah disoal balas oleh pembelaan.
Mereka ialah ketua pasukan penyiasat jenayah anti pengubahan wang haram Bukit Aman, Asisten Komisioner Foo Wei Min; pegawai penyiasat, Penguasa Kanan SPRM Nur Aida Arifin dan bekas Ketua Unit Siasatan Jenayah Korporat (CCID) Bukit Aman, Senior Asistan Komisioner (SAC), R. Rajagopal.
Perbicaraan bersambung 15 April ini. – UTUSAN