Saya fikir saya sudah tidak ada waktu Kapsul Masa dibuka'- Tun M

Saya fikir saya sudah tidak ada waktu Kapsul Masa dibuka – Tun M

MAHATHIR Mohamad bergambar bersama Kapsul Masa ketika ditemui di Menara Kuala Lumpur, di sini, hari ini. - UTUSAN/ M. FIRDAUS M. JOHARI  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad meluahkan rasa syukur kerana tidak menyangka beliau sendiri akan membuka kapsul masa yang ditanam hampir tiga dekad lalu.

Katanya, ia merupakan hari bersejarah kerana Menara Kuala Lumpur menjadi Kapsul Masa pertama yang dibuka setelah hampir 30 tahun lamanya.

“Saya tidak harap langsung untuk saya buka kapsul masa ini dan melihat pembukaannya kerana saya memikirkan saya sudah tidak ada. Tetapi saya masih dapat melihat dan berusaha membuka kapsul ini dan membaca isi kandungan kapsul.

“Ini yang membuatkan saya rasa beryukur yang teramat sangat,” katanya sambil menahan sebak pada sidang media selepas membuka kaspul masa di Menara Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Antara barangan yang terkandung dalam Kapsul Masa adalah setem bergambar Menara Kuala Lumpur, duit kertas lama RM2, kad pengenalan serta keratan akhbar yang tertera gambar Menara Kuala Lumpur.

Selain itu, antara barangan Kapsul Masa yang turut menggamit memori beliau adalah sajak yang ditulisnya sendiri sempena Ulang Tahun ke-50 Penubuhan UMNO pada 4 Mei 1996.

“Hampir 30 tahun dulu saya masukkan segalanya dalam kapsul ini dan zaman itu pun saya sudah berusia 70 tahun, mana nk tahu saya masih ada di waktu ini. saya sebak dan bersyukur kerana masih dapat membaca sajak supaya anak Malaysia terus berjuang untuk bangunkan negara,” ujarnya.

Turut hadir pada program tersebut, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemimpin veteran, Tan Sri Rais Yatim serta beberapa pemimpin pembangkang lain.

Bagaimanapun tiada seorang pun pemimpin kerajan yang hadir menyaksiklan pembukaan kapsul tersebut.

Mengulas perkara itu, Tun Mahathir berkata, seharusnya semua pemimpin perlu meletakkan perbezaan politik dan melihat ia sebagi kejayaan yang harus dirai bersama.

“saya sedih..kita perlu mengenepikan fahaman politik kerana ini mercu tanda negara, kita bukan Barisan Nasional (BN) atau Pas atau Keadilan, ini kejayaan seluruh negara kita.

“Sebab itu kita perlu ketepikan perpisahan kita kerana politik dan rayakan satu kejayaan yang luar biasa yang buka dicapai oleh parti politik tetapi negara kita,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN