PETALING JAYA: “Saya datang ke majlis KKM sebagai tetamu dan bukan artis yang diundang membuat persembahan.”
Demikian kata penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menyangkal dakwaan dirinya dibayar ketika membuat persembahan di majlis sambutan Hari Raya anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Biduanita Negara itu, dia membuat persembahan tersebut secara suka rela dengan niat mahu menghargai jasa kakitangan KKM.
“Saya menyanyi kerana saya mahu menghargai warga KKM, atas rela hati dan tanpa bayaran.
“Saya tidak mahu lebih ramai memanjangkan fitnah apabila nama saya dipetik dalam berita atas nyanyian saya di majlis semalam (selasa).
“Seperti mana penjelasan saya, saya tidak minta apa-apa bayaran, saya datang sebagai tetamu dan saya menyanyi dengan rela hati,” katanya.
Siti bagaimanapun memaklumkan penjelasan tersebut dibuat kerana tidak mahu fitnah tersebut berpanjangan.
“Saya rasa penjelasan ini penting supaya anda tidak membuat penulisan, berita dan menyebarkan nama atau gambar saya dengan sesuatu yang tidak sahih beritanya,” jelasnya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Tanpa Dendam Di Hati itu turut menasihatkan individu yang menyebarkan fitnah ke atas dirinya sedar akan implikasinya.
“Kepada semua yang menyampaikan hal palsu ini, baik media, individu, netizen, saya berharap agar anda sedar akan implikasi fitnah kepada seseorang.
“Pastikan sesuatu yang sahih baru menulis kerana fitnah, komen, petikan nama, gambar, ulasan yang tidak benar ini memberikan implikasi yang sangat tidak baik.
“Walhal saya seikhlas hati menghiburkan tanpa bayaran pada majlis yang diperkatakan itu,” katanya di kapsyen.-UTUSAN