ALOR SETAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima penghargaan daripada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah kerana menyelesaikan segera isu pembangunan Fasa 5, Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).
Menteri Besar Kedah itu berkata, kelulusan Notis Perubahan (NoC) diperlukan segera oleh kerajaan negeri sebelum meneruskan proses perolehan tanah setelah mendakwa terpaksa menunggu sehingga setahun.
Beliau mendakwa, proses itu menjadi lambat oleh kerana ia tidak diluluskan oleh Kementerian Ekonomi yang diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli.
“Prosesnya NoC kena lulus dulu baru boleh berurusan untuk beli tanah. Kita dah sahkan secara rundingan harga tanah RM7.66 sekaki milik Boustead. Jadi kena uruskan NoC baru boleh keluar surat (pengesahan bertulis pemilik tanah).
“Tapi nak main politik juga kata tak bagi surat pun. Surat sekeping jadi alasan tangguh setahun. Saya tabik spring kepada PMX yang uruskan hal ini 30 minit saja, 30 minit jumpa PMX selesai.
“Tapi oleh kerana kita jumpa PMX, jangan kecil hati pula. Dah aku bagi hang masa setahun hang tak selesaikan, kita pi jumpa bos hang, bos hang boleh selesaikan,” katanya menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kedah pada persidangan DUN Kedah, hari ini.
Semalam, Rafizi dilaporkan berkata, Exco Kerajaan Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah dituntut memohon maaf kepada rakyat negeri itu selepas didakwa membuat tuduhan tidak berasas berhubung kelulusan projek KHTP Fasa 5.
Beliau berkata, tuduhan itu mendakwa kononnya beliau sengaja melengah-lengahkan permohonan kelulusan NoC dan dikatakan cuba mensabotaj projek kerajaan negeri berkenaan.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri tidak berdepan masalah untuk mengemukakan surat tersebut sekiranya diminta berbuat demikian tetapi mendakwa perkara itu tidak dimaklumkan.
“Kalau dia minta surat kita boleh bagi tapi balik senyap setahun lepas itu kata surat tak beri. Tak ada mulut ka (nak minta surat). Saya hairan dengan dia, main TikTok pandai sampaikan rumah terbuka saya pun komen yang tiada kaitan Kementerian Ekonomi pun,” ujarnya.
Muhammad Sanusi menjelaskan, penambahan hutang atau pinjaman asal Kedah kepada Kerajaan Persekutuan untuk Fasa 5 berjumlah RM362 juta berbanding RM195 juta sebelum ini seperti dinyatakan Rafizi pula kerana jumlah itu tidak cukup untuk pengambilan tanah dengan harga terkini.
“RM195 juta tak cukup sebab dulu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) nilai tanah di situ RM7 ke RM8 sekaki sahaja tapi kita minta RM10 tetap tidak cukup kerana harga sekarang dah jadi lebih RM18 sekaki.
“Bersama pinjaman RM195 juta itu ada geran RM131 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk infrastruktur yang perlu disalurkan kerana semua cukai industri kilang-kilang dapat kepada mereka,” katanya.
Ujarnya, perkara sama dilakukan ketika membangunkan Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 KHTP yang mana Kerajaan Kedah membuat pinjaman serta menerima geran infrastruktur, namun bagi Fasa 4A, kesemua kos ditanggung pihaknya 100 peratus. – UTUSAN