Sambutan Jubli Perak jadi lembaran penting sejarah Perlis

Sambutan Jubli Perak jadi lembaran penting sejarah Perlis

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail (dua dari kanan), Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid (kanan) dan Sultan Hassanal Bolkiah (tiga dari kanan) serta Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) pada Majlis Santapan Diraja bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis di Istana Arau, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalul­lail pada 17 April 2025 menjadi lembaran penting dalam sejarah negeri ini, sebagai saksi kesetiaan rakyat dan keteguhan sistem beraja yang menjadi tunjang kedaulatan negeri.

Dalam titah baginda sempena Majlis Santapan Diraja di Istana Arau di sini, baginda menyifatkan tempoh 25 tahun pemerintahan sebagai satu perjalanan yang sarat dengan cabaran, pengorbanan serta pengalaman yang membentuk landskap ke­pimpinan negeri.

Titah baginda, ia adalah simbol amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan kasih dan dedikasi terhadap negeri.

“Peristiwa hari ini pastinya akan terpahat dalam sejarah negeri ini. Saya ingin memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia­nya, saya telah dilanjutkan usia dan dikurniakan kesihatan yang baik untuk merasai pemerintahan Jubli Perak ini.

“Pada hari ini genaplah pemasyhuran saya menjadi pemerintah negeri Perlis bersama permaisuri hati saya, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid selama 25 tahun bermula pada 17 April 2000 selepas kemangkatan ayahanda saya.

“Bermula dari saat itulah, saya menjadi payung negeri yang menaungi seluruh hal ehwal pentadbiran, agama Islam, pembangunan negeri untuk kesejahteraan rakyat jelata saya,” titah baginda, kelmarin.

Majlis Santapan Diraja itu diserikan dengan keberangkatan raja-raja pemerintah atau wakil-wakil bersama tuan-tuan yang terutama dari seluruh negara termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof turut menghadiri majlis itu.

Keberangkatan tiba Raja-raja Melayu, Yang Dipertua Negeri serta Sultan Hassanal di Istana Arau disambut oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Hadir sama menyambut ke­tiba­an ialah Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Tuanku Syed Sirajuddin seterusnya merakamkan ucapan terima kasih kasih kepada duli-duli tuanku raja-raja, tuan yang terutama negeri, kerabat-kerabat diraja, dif-dif kehormat serta para tetamu kerana sudi bersama-sama meraikan Sam­butan Jubli Perak.

“Saya juga berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Persekutuan melalui agensi negeri dan Persekutuan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan Sambutan Jubli Perak ini.

“Bersama-samalah kita berdoa agar negeri Perlis sentiasa dilimpahi dengan rahmat, keamanan dan kemakmuran. Semoga saya terus diberi kekuatan, kesihatan dan kebijaksana­an untuk menjalankan amanah sebagai Raja negeri,” titah ba­ginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya