Saifuddin belum putuskan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR

Saifuddin belum putuskan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa beliau belum membuat sebarang ketetapan sama ada akan mencabar Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan PKR Mei ini.

Bekas Setiausaha Agung PKR itu berkata, walaupun ada pihak yang menyebut mengenai perkara tersebut, namun tiada keputusan dibuat ke arah itu.

“Saya pun mengikuti juga beberapa pandangan orang yang mula menyebut tentang idea bahawa sampai masanya saya membuat pengumuman dan sebagainya.

“(Namun) saya masih lagi belum membuat apa-apa ketetapan ke arah itu (tanding jawatan Timbalan Presiden),” katanya menerusi sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

Terdahulu media melaporkan, perkembangan pemilihan di 222 cabang PKR menyaksikan sekutu Rafizi tumbang mencetuskan persoalan menarik yang memungkinkan wujudnya pencabar ahli Parlimen Pandan bagi jawatan Timbalan Presiden parti itu.

Antara pemimpin yang dikaitkan dengan Rafizi ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir. Kedua-duanya tewas dengan majoriti tipis.

Mengulas lanjut, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu berkata, tiada sesiapa yang boleh mempersoalkan kesetiaannya terhadap parti dengan ‘track record’ selama 14 tahun menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung.

“Orang tua macam saya ini lebih nostalgik bila cakap tentang sejarah parti, saya cuma mengajak semua pendukung parti supaya menganggap proses pemilihan ini satu proses demokrasi yang segar. Kalau ada tidak puas hati misalnya, saluran parti itu harus digunakan,” katanya.

Menurut Saifuddin, beliau baru-baru ini juga ada bertemu dengan Rafizi bagi membincangkan mengenai perkembangan semasa serta peranan masing-masing dalam pengukuhan parti.

Jelasnya, perbincangan itu berlangsung secara kondusif dengan mereka mengambil pendekatan untuk berterus terang serta mengulangi ikrar untuk bergabung sebagai pimpinan menerusi platform parti.

“Esok akan diadakan mesyuarat khas MPP (Majlis Pimpinan Pusat) dan saya percaya itu adalah platform yang akan digunakan untuk mereka menyampaikan pandangan.

“Mereka itu bukan tewas tetapi tidak cukup undi untuk terpilih. Saya sendiri banyak kali bertanding, lebih banyak kalah daripada menang (tetapi) saya masih di sini. Kalah bukan bermaksud terpinggir atau tersingkir. Selama kamu terus berkhidmat, kamu terus setia dengan parti, pimpinan tetap memberikan tempat kepada kamu.

“Mungkin sebab dia menteri atau pimpinan utama jadi masuk (bertanding) mesti menang, tak juga begitu keadaannya. MPP ini dinamik, ia melakukan proses penyegaran (dalam parti),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya