Rugi RM1.25 juta akibat terperdaya skim pelaburan tidak wujud

Rugi RM1.25 juta akibat terperdaya skim pelaburan tidak wujud

Seorang kakitangan sektor kesihatan di Pulau Pinang mengalami kerugian sebanyak RM1.25 juta selepas terperdaya dengan satu skim pelaburan tidak wujud. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Seorang kakitangan sektor kesihatan di sini mengalami kerugian sebanyak RM1,256,096 selepas terperdaya dengan satu skim pelaburan tidak wujud melalui aplikasi Facebook.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, kejadian itu berlaku sekitar 20 Disember tahun lalu selepas mangsa yang berusia 58 tahun melihat iklan pelaburan saham QC Secure melalui aplikasi di media sosial berkenaan.

Katanya, mangsa dikatakan berminat untuk menyertai pakej pelaburan yang ditawarkan itu sebelum membuat beberapa transaksi kemasukan wang ke dalam tujuh akaun bank yang berbeza.

“Langkah itu (melakukan beberapa transaksi kemasukan wang) dibuat selepas mangsa dijanjikan pulangan keuntungan sebanyak antara 500 hingga 800 peratus daripada modal yang dilaburkan.

“Bagaimanapun, mangsa akhirnya tampil membuat laporan polis pada 4 April lalu selepas menyedari dirinya ditipu oleh sindiket terbabit,” katanya di sini, hari ini.

Jelas Anuar, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan sentiasa peka agak tidak mudah terpedaya dengan taktik licik ‘scammer’ khususnya secara dalam talian.

“Berpandukan kes ini, adalah mustahak untuk informasi berkaitan pencegahan jenayah komersil khususnya penipuan dalam talian disampaikan kepada semua lapisan masyarakat.

“Hakikatnya, penipuan dalam talian adalah kategori jenayah komersil dan boleh dicegah serta dielakkan seandainya mangsa mempunyai pengetahuan dan berwaspada terhadap sebarang kemungkinan,” ujar beliau.

Tambahnya, semakan awal juga perlu dibuat dengan pihak Bank Negara (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan entiti atau individu tersebut dibenarkan untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal termasuk pelaburan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya