PETALING JAYA: Semakin terbuka, pelakon, Riena Diana meluahkan keinginannya untuk memiliki cahaya mata sendiri.
Riena yang mendukung seorang bayi dalam sebuah hantaran di Instagram turut menyeru nama kekasih hatinya, Keith Foo seolah memberi bayangan mahu memiliki cahaya mata bersama aktor tersebut.
“Cepatlah Keith Foo, nak satu macam ini. Tak nak Walid. Janji Comel.
“Cuba korang tag Keith cakap cepat sikit dan apa akibat dia kalau lambat-lambat. Terima kasih,” katanya di ruangan kapsyen Instagram.
Menyedari perkara tersebut, Keith turut meninggalkan komen ringkas seakan memberi bayangan bahawa mereka akan disatukan tidak lama lagi.
“Tidak lama lagi sayang,” komennya.
Hantaran tersebut secara tidak langsung menuai perhatian dalam kalangan netizen dan rakan selebriti yang rata-ratanya mahu melihat pasangan itu naik pelamin.
Terdahulu, Riena pernah memaklumkan dirinya enggan terburu-buru untuk berkahwin dengan Keith selain mahu memberi ruang untuk pelakon lelaki itu mendalami Islam dengan baik.
Namun, aktres itu juga mengakui hubungan mereka kini sudah di tahap yang serius dan menjangkakan bakal melangkah ke fasa seterusnya pada tahun hadapan.
Sebelum ini, kisah cinta Riena dan Keith menjadi sorotan selepas pasangan itu mendedahkan hubungan mereka mula terjalin sejak membintangi drama bersiri, Salju Rindu Di Bumi Auckland.-UTUSAN