SHAH ALAM: Seorang remaja lelaki yang tular berlari dalam keadaan bogel di simpang tiga Persiaran Kayangan, Seksyen 8 di sini, ditahan polis hari ini.
Bagaimanapun siasatan polis mendapati remaja berusia 18 tahun itu mengalami masalah mental dan diserahkan semula kepada keluarganya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerusi Balai Polis Seksyen 6 bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat, kira-kira pukul 8.30 pagi.
Jelas beliau, anggota polis kemudian menahan lelaki yang tidak berpakaian itu selepas berjaya memujuk dan menenangkannya.
“Remaja yang dibawa ke Balai Polis Seksyen 6 itu kemudian diberikan pakaian dan hanya boleh berintraksi menggunakan isyarat tangan. Dia kemudian menulis nombor telefon orang yang boleh dihubungi bagi tindakan lanjut,” katanya hari ini.
Tambah Mohd. Iqbal, bapa saudara memaklumkan remaja itu menetap bersamanya di Seksyen 9, di sini.
“Remaja itu mengalami masalah gangguan mental dan mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang sebelum ini. Dia telah diserahkan kepada bapa saudaranya itu bagi mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Shah Alam,” ujarnya.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki melintas jalan dengan berjoging dalam keadaan bogel di kawasan berkenaan yang dirakam pengguna jalan raya. -UTUSAN