GERIK: Nanphasorn Kasikidpongpant, 20, gembira melihatkan perayaan masyarakat Siam, Songkran berjaya diadakan buat pertama kali bertaraf kebangsaan di negara ini.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu telah dinobatkan sebagai Ratu Songkran 2025 di dalam sambutan Perayaan Songkran Peringkat Kebangsaan 2025 yang dianjurkan di Pengkalan Hulu, dekat sini.
“Saya lihat sambutan ini dihadiri oleh banyak kaum. Ia sesuatu yang jarang berlaku. Ada kaum Melayu, Cina, India dan Siam. Ia membuktikan kita bersatu dan mencerminkan kepelbagaian kaum di Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita.
Sambutan itu yang disertai ribuan orang khususnya masyarakat bumiputera Siam di Malaysia telah dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Aaron berkata, sambutan tersebut amat menggembirakan etnik Siam di Malaysia kerana perayaan itu adalah sesuatu yang besar buat masyarakat minoriti tersebut.
“Songkran memberikan peluang untuk kita mengenali dan menghargai tradisi masyarakat Siam yang telah wujud sejak sekian lama.
“Kita raikan semua perayaan. Kita menghormati kepelbagaian. Di negara ini terdapat banyak kumpulan etnik-etnik yang mempunyai hari perayaan mereka sendiri. Jika kita dapat memahami kepelbagaian, kita mampu membentuk bangsa yang bersatu padu dan harmoni,” katanya.
Sambutan itu selama tiga hari dari 11 hingga 13 April dianjurkan melalui Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Persatuan Siam Malaysia (PSM) yang mewakili kira-kira lebih 43,000 orang masyarakat Siam di Malaysia.
Aaron berkata, perayaan Songkran merupakan sambutan tahun baharu seperti Tahun Baharu Cina.
Beliau optimis indeks perpaduan di negara ini mampu bertambah baik hasil pelbagai aktiviti termasuk seperti penganjuran perayaan kaum-kaum kerana isu-isu yang sering dimainkan berpunca akibat tiada kefahaman dalam segelintir rakyat.
Sementara itu Presiden PSM, Sam Maark Suvanphet melihat penganjuran Songkran bertaraf kebangsaan juga penting untuk menghapuskan kekeliruan kononnya masyarakat Siam di Malaysia merupakan warga Thailand, sedangkan mereka adalah kaum bumiputera dan pribumi dalam negara ini. – UTUSAN