GEORGE TOWN: Penduduk Pulau Pinang kini boleh menarik nafas lega apabila perkhidmatan Rapid Penang On-Demand akan diperluaskan ke tiga zon baharu bermula 26 April ini.
Tiga zon berkenaan ialah George Town, Jelutong dan Bayan Lepas yang akan melibatkan penyediaan sebanyak 14 buah van iaitu enam van di George Town serta masing-masing empat van di Jelutong dan Bayan Lepas.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria, pelaksanaan zon baharu itu bakal memberi tumpuan kepada kawasan pusat bandar dan lokasi berpenduduk padat yang selama ini kurang mendapat akses kepada perkhidmatan bas sedia ada.
“Perkhidmatan ini akan menghubungkan penumpang dari kawasan yang sukar mendapat akses bas, sama ada ke stesen bas sedia ada atau terus ke destinasi pilihan mereka melalui konsep batuan pertama dan terakhir,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, langkah itu juga dijangka menggalakkan lebih ramai penduduk menggunakan pengangkutan awam selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta masalah kekurangan ruang parkir terutamanya di pusat bandar George Town.
“Sebagai langkah jangka panjang, Rapid Bus juga akan menambah 21 buah van secara berperingkat menjelang Jun ini bagi menyokong pelaksanaan fasa yang seterusnya,” kata beliau.
Tambahnya, sebagai langkah penambahbaikan pula, Rapid Bus akan menggabungkan pengoperasian Rapid Penang On-Demand di zon Paya Terubong dan Farlim bermula Mei ini.
“Penyusunan semula ini dijangka dapat meningkatkan kesalinghubungan antara perkhidmatan Rapid Penang On-Demand dan bas Rapid Penang sedia ada di samping menyediakan perkhidmatan terus ke destinasi pilihan penumpang,” katanya.
Ku Jamil berkata, perkhidmatan Rapid Penang On-Demand kini mencatatkan purata penumpang harian sebanyak 753 orang sejak diperluaskan ke zon Gurney, Sunway dan Paya Terubong sebelum ini.
“Perkhidmatan ini bermula dengan hanya dua van di Farlim yang mencatatkan 120 penumpang sehari pada awalnya,” katanya yang memberitahu, perkhidmatan tersebut beroperasi setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 11 malam dengan tambang promosi RM1 bagi setiap perjalanan. – UTUSAN