PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Perak, Tun Ramli Ngah Taib dilantik sebagai Yang Dipertua Pulau Pinang kesembilan berkuat kuasa 1 Mei ini.
Beliau menerima surat cara pelantikan itu daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini hari ini.
Pada istiadat sama, Ramli, 84, turut dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) yang membawa gelaran Tun.
Ramli dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang bagi tempoh empat tahun bermula 1 Mei 2025 hingga 30 April 2029.
Pelantikan Ramli bagi menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang menyandang jawatan itu bermula 1 Mei 2021.
Ramli sebelum ini merupakan Menteri Besar Perak pada 1983 sebelum beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan dari 2000 hingga 2004 serta pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat. – UTUSAN