TAPAH: Rakyat terutama pemimpin parti politik perlu bersatu untuk menghadapi tekanan yang dihadapi negara berikutan tarif timbal balik 24 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, demi kepentingan negara, semua pihak termasuk pembangkang sekalipun perlu bersatu hati bagi menghadapi tekanan yang dikenakan oleh pihak pentadbiran Amerika Syarikat terhadap Malaysia dan banyak negara di dunia.
Menurutnya, sehubungan itu, tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat tidak sepatutnya dijadikan isu semasa kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.
Beliau berkata, sebaliknya semua pihak perlu bersama-sama mendokong visi Perdana Menteri dalam menghadapi tekanan akibat pelaksanaan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.
“Kita menghadapi masalah apabila tarif dikenakan kepada kita dan beberapa negara lain. Sebagai rakyat Malaysia sama ada BN, PH dan lain-lain malah Pembangkang sekalipun, ini masalah yang dihadapi oleh negara akibat tekanan daripada AS.
“Sepatutnya demi kepentingan negara, kita harus bersatu hati untuk mendepani tekanan yang dikenakan oleh pentadbiran AS kepada Malaysia dan dunia
“Jangan jadikan PRK Ayer Kuning ini sebagai tempat melepiaskan rasa amarah dengan pelbagai isu kerana ini adalah isu yang dikenakan terhadap negara,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, walaupun dikenakan tarif yang tinggi, Malaysia akan tetap mengeksport minyak kelapa sawit ke Amerika Syarikat.
“Walaupun tarif akan dikenakan 24 peratus, atas arahan Perdana Menteri, beliau (Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani) harus menjual (minyak kelapa sawit) dengan lebih banyak kepada AS.
“Bagaimana nak buat itu, terserah kepada kebijaksanaan beliau (Johari Abdul Ghani),” katanya.
Sementara itu, mengenai PRK Ayer Kuning, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, PRK tersebut adalah yang kelima buat BN dan yang kelapan buat Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, PRK Ayer Kuning penting untuk Kerajaan Perpaduan meneruskan kemenangan seperti dalam beberapa PRK sebelum ini.
“Perdana Menteri amat mengharapkan agar kemenangan dalam PRK Nenggiri dan kemenangan besar di DUN Mahkota dapat dijadikan contoh untuk kita menang di Ayer Kuning.
“BN berterima kasih kepada rakan-rakan dan kepimpinan dalam Pakatan Harapan (PH) yang telah merealisasikan kesepakatan yang dinamik termasuk di Perak,” katanya. – UTUSAN