PETALING JAYA : Sekumpulan warga Myanmar di Malaysia menzahirkan penghargaan terhadap pasukan Kumpulan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang baru pulang daripada misi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di negara mereka semalam.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di aplikasi Tiktok, situasi itu dapat dilihat melalui sekumpulan warga Myanmar di luar Lapangan Terbang Subang yang menanti kepulangan anggota SMART dari misi mencari dan menyelamat di negara mereka yang dilanda gempa bumi semalam.
Malah terdapat juga yang membawa bunga bagi menghargai jasa anggota SMART dalam membantu kerajaan Myanmar untuk mencari mangsa gempa bumi.
Pemilik akaun Tiktok tersebut @rdz140 yang dipercayai anggota Smart itu turut menerima bunga juga terharu dengan sambutan tersebut semasa dalam perjalanan pulang ke rumah.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati komen orang ramai yang melihat situasi sebagai tanda penghargaan Myanmar terhadap misi kemanusian kerajaan.
“Orang Myanmar lebih tahu erti menghargai, nak dibandingkan dengan negara jiran, orang Myanmar lebih bagus dari segi appreciate (menghargai) attitude (sikap) terbaik…,” komen @ZackTiktokshop.
“Terima kasih banyak banyak Smart team malaysia,” komen @Ai Dan Pui.
“Jika ada kata-kata yang lebih indah daripada ucapan terima kasih, saya ingin mengatakannya. Negara Malaysia dan rakyat Malaysia akan sentiasa menjadi wira sejati yang sentiasa membantu bagi negara,” komen @soehtet927.
Video berkenaan telah tular di media sosial dan menerima 437,000 tontonan, 914 komen dan hampir 28,000 tanda suka.
Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selain tempoh operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh SMART telah tamat, ia perlu dihentikan kerana mereka tidak lagi menjumpai mangsa hidup yang terperangkap di bawah runtuhan bencana alam itu.
“SMART kita jumpa seorang sahaja masih hidup dan yang lainnya semua telah meninggal dunia,” katanya sebelum mengakhiri lawatan rasmi untuk misi kemanusiaan ke Myanmar pada Sabtu lepas. – UTUSAN