Rakyat Malaysia rompak emas di Thailand ada 10 rekod jenayah lampau

Rakyat Malaysia rompak emas di Thailand ada 10 rekod jenayah lampau

YEE Boon Long ditahan polis Thailand di Nonthaburi, Bangkok pada 9 April lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang rakyat Malaysia yang ditahan selepas terlibat dalam kes rompakan kedai emas di Bangkok, Thailand minggu lalu disahkan mempunyai sepuluh rekod jenayah lampau di negara ini.

Lelaki berusia 62 tahun dikenali sebagai Yee Boon Long yang berasal dari Kulim, Kedah itu juga mempunyai dua rekod dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu kes bunuh dan Seksyen 3(1) Ordinan Darurat 1969.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi berkata, semakan terhadap kertas siasatan membabitkan jenayah dilakukannya di negara ini sedang dibuat sebelum proses ekstradisi diambil. 

Beliau berkata, pada peringkat ini, PDRM menyerahkan kepada pihak berkuasa Thailand terlebih dahulu untuk mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan atas kesalahan yang dilakukannya di negara itu.

“Kami (polis) telah dimaklumkan mengenai penahanan suspek sebaik sahaja dia ditahan di Bangkok atas kesalahan samun bersenjata di Hatyai.

“Suspek kini masih berada di lokap Hatyai untuk siasatan lanjut sementara kami (polis) meneliti lanjut kesalahan dilakukannya di negara ini bagi tindakan ekstradisi,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, lelaki berkenaan juga tidak lagi tinggal di negara ini dan dikesan menggunakan dokumen palsu untuk bersembunyi di negara terlibat.

“Semasa tangkapan terhadapnya dilakukan dia dikesan memiliki kad pengenalan Thailand yang palsu selain tiada MyKad atau passport Malaysia ditemukan bersamanya,” jelasnya.

Pada 9 April lalu, Polis Thailand mengesahkan seorang lelaki warga emas di daerah Nonthaburi, Bangkok, Thailand ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes rompakan kedai emas di Hat Yai

Pemangku Ketua Polis Siasatan Bahagian Ke-6, Kolonel Polis Anusorn Thongsai dilaporkan berkata, suspek dipercayai rakyat Malaysia disyaki merompak sebuah kedai emas sebelum melarikan diri ke Bangkok, ditahan ketika dalam perjalanan dipercayai menuju ke rumah anaknya di Nonthaburi.

Beliau dilaporkan berkata, suspek cuba menyamar menggunakan pelbagai identiti bagi mengelak dikesan pihak berkuasa semasa berada di Thailand.

Siasatan awal mendapati suspek menaiki bas dari Hat Yai ke stesen bas Mochit di Bangkok sebelum cuba menaiki teksi ke rumah anaknya di Nonthaburi.

Anggota polis Thailand berjaya menahan suspek kira-kira pukul 6.30 petang waktu tempatan, bersama barang bukti berupa emas, sepucuk pistol dan beberapa butir peluru hidup.

Suspek juga bertindak bersendirian dengan menaiki motosikal untuk merompak sebuah kedai emas di Plaza Hat Yai pada 11.50 pagi sehari sebelum dia ditahan.

Suspek menggunakan pistol untuk melarikan emas bernilai lebih kurang 9 juta baht (RM1.17 juta).

Berikutan kejadian itu, polis Thailand mengeluarkan waran tangkap semalam dan memperketat kawalan di semua pintu keluar sempadan bagi menghalang suspek daripada melarikan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya