PETALING JAYA: Krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza terus meruncing apabila rakyat di wilayah itu semakin terdesak mendapatkan makanan, ubat-ubatan dan air bersih dalam keadaan serangan yang tidak berhenti.
Seorang penduduk Gaza yang juga bekas pelajar Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Asmaa Hussein Eslayeh berkata, dia sepatutnya menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD), namun kini terkandas di Gaza akibat konflik yang berlarutan.
“Stok makanan semakin berkurangan. Tiada langsung makanan sihat. Kanak-kanak pula mengalami kekurangan zat makanan.
“Ia berikutan kesukaran untuk mendapatkan air, perlu beratur berjam-jam. Stok ubat pula hampir kosong,” katanya berkongsi pengalaman ngeri yang sedang dilaluinya di sana.
Dia juga memaklumkan keadaan keselamatan di Gaza semakin tidak menentu dengan bunyi tembakan dan serangan artileri hampir setiap hari.
“Saya tidak mahu buat orang risau, tetapi kali ini saya benar-benar perlukan doa yang ikhlas. Hanya doa yang boleh melindungi kami sekarang. Ameen Ya Rabbal Alamin,” katanya.
Sementara itu, Nurul Ain Haron, seorang rakyat Malaysia yang pernah terkandas di Gaza dalam situasi konflik sebelum ini, turut mengesahkan bahawa keadaan sekarang jauh lebih buruk berbanding apa yang pernah dilaluinya.
“Rakan-rakan saya di Gaza kini hilang tempat tinggal, ada yang hanya berlindung di runtuhan bangunan. Hospital sudah tidak lagi berfungsi, malah sekolah juga dijadikan sasaran,” katanya.
Dalam perkembangan terkini, Hospital Al Mamadani di Kota Gaza dilaporkan musnah sepenuhnya selepas menjadi sasaran serangan udara Israel.
“Bangunan kecemasan, kaunter penerimaan dan unit ambulans dilaporkan hancur, menyebabkan pesakit dan mangsa cedera terpaksa berlindung di luar bangunan tanpa rawatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, sekurang-kurangnya 34 buah hospital dimusnahkan secara sistematik oleh Israel dalam tempoh konflik ini, menjadikan sistem kesihatan di Gaza hampir lumpuh sepenuhnya.
Terdapat laporan tidak rasmi bahawa sempadan Gaza dijangka dibuka pada Isnin, namun belum ada pengesahan rasmi.
Penduduk Gaza menaruh harapan tinggi agar bantuan makanan dan ubat-ubatan dapat segera dibawa masuk. – UTUSAN