KUALA LUMPUR: Orang awam dibenarkan untuk memberi penghormatan terakhir kepada Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara bermula 10 pagi ini sehingga 1 petang.
Menantu kepada Allahyarham, Khairy Jamaluddin berkata, Abdullah yang lebih dikenali sebagai Pak Lah selamat di bawah ke Masjid Negara pada awal pagi tadi.
“Almarhum Tun sudah dimandi dan dikafan oleh pihak Masjid Negara serta dibantu oleh ahli-ahli keluarga. Sekarang ini jenazah Almarhum Tun berada di dewan solat utama.
“Walaupun kita sudah umumkan bahawa orang ramai, sedara mara dan rakyat Malaysia yang memberikan penghormatan akhir kepada Tun boleh datang bermula 10 pagi ini,” katanya kepada pemberita, di sini.
Allahyarham akan disembahyangkan selepas solat Zuhur dan seterusnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.
Terdahulu, Abdullah meninggal dunia pada usia 86 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, semalam.
Pasukan perubatan yang bertanggungjawab merawat Abdullah di IJN memaklumkan bahawa Allahyarham mengalami masalah pernafasan lalu dimasukkan ke dalam wad sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.
Allahyarham merupakan Perdana Menteri kelima yang berkhidmat dari tahun 2003 sehingga 2009 bagi menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad.-UTUSAN