Rakyat biasa tanpa diracuni diayah politik boleh hidup aman - Sultan Nazrin - Utusan Malaysia

Rakyat biasa tanpa diracuni diayah politik boleh hidup aman – Sultan Nazrin

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa dukacita apabila politik kebencian dan perkara mengenai agama dan kaum semakin disensasikan, semakin ditunggang oleh mereka yang mahu diiktiraf sebagai wira kaum dan wira agama.

Baginda bertitah, masih terdengar pahat berbunyi susulan pemindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliaman di Kuala Lumpur untuk membolehkan sebuah masjid dibina.

Titah baginda, meskipun kekusutan yang berlarutan lebih sepuluh tahun berjaya dirungkai melalui persefahaman yang dicapai secara rundingan antara pihak-pihak yang terlibat, tetapi masih ada pihak tertentu, memilih untuk terus dijadikan bahan sensasi yang dipolemikkan, diperdebatkan dan dipolitikkan ke peringkat menjentik emosi yang meresahkan rakyat.

Titah Sultan Nazrin, ada kalanya perkara kecil dan setempat berkaitan agama dan kaum, dipilih untuk dieksploitasi, sehingga berpotensi mencetuskan letupan besar.

“Perkara mengenai agama dan kaum, semakin disensasikan-semakin ditunggang oleh mereka yang mahu diiktiraf sebagai wira kaum dan wira agama, meskipun berpotensi mencetuskan kemarahan dan rasa permusuhan sesama warga.

“Kita sedang berhadapan cabaran mencari serapah ajaib, resepi berkesan untuk mengendalikan secara adil, saksama dan berkesan, perselisihan dalam masyarakat yang pelbagai; kita masih meraba dalam kesamaran mencari formula untuk memahamkan pelbagai pihak, agar lebih rasional, bersedia melihat melalui lensa penyatuan dan perpaduan, berasaskan nilai-nilai kemanusiaan yang menghargai keharmonian.

“Sangat mendukacitakan politik kebencian dijadikan pilihan, dan dikhuatiri negara bakal menghadapi warga yang tidak lagi bersatu, malah membenci dan memusuhi antara satu sama lain.

“Hakikatnya, rakyat biasa tanpa diracuni diayah politik memecah belah, boleh hidup secara aman – secara harmoni.,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, negara ini semakin disemai benih-benih kebencian secara keterlaluan hingga terhakisnya kompas moral dan gugurnya empati apabila berurusan dengan pihak yang tidak sekata.

Titah baginda, kelihatan semakin subur budaya fitnah, semakin sarat budaya yang merestui perbuatan menghina dan menjatuhkan maruah lawan politik, dan semakin luntur nilai-nilai keinsanan dan kemanusiaan. Kebenaran bagaikan tiada lagi mempunyai nilai dan harga.

Bagidan bertitah, Islam menekankan aspek ihsan dan belas kasihan; Islam menganjurkan ummah untuk melakukan yang baik dan indah manakala agama Kristian menekankan elemen rahmat, sementara agama Hindu dan ajaran Buddha menekan elemen ‘dharma’ yang mengutamakan kebenaran; seruan untuk bertindak secara adil berpaksikan belas kasihan.

“Ternyata kesemua agama memiliki pedoman yang seiring, iaitu jangan lakukan kepada pihak lain perkara yang kita tidak mahu orang lain lakukan kepada kita.

“Keamanan bukan sesuatu yang mudah dicapai, keamanan bukannya pipih datang melayang.

“Keamanan ialah hasil perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu yang berusaha mengekalkan kestabilan dan kemakmuran negara. Rakyat perlu menghargai dan mengamalkan nilai perpaduan, saling menghormati dan hidup dalam suasana bertoleransi dengan keinsafan, kestabilan negara bukan hanya tanggungjawab kerajaan tetapi memerlukan kerjasama seluruh rakyat,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, setiap individu ada tanggungjawab bersama dan setiap individu harus peka untuk menyelesaikan masalah secara bijak, tanpa kekerasan, tanpa persengketaan, dalam semangat yang menghargai perdamaian.

Titah baginda, jadikan teladan, sikap pemimpin dua buah institusi agama, iaitu pemimpin Masjid Al-Falah Subang Jaya, dan pemimpin Kuil Sri Maha Kaliamman Jalan Putra Harmoni, semasa peristiwa kebakaran saluran paip gas di Putera Heights.

Baginda bertitah, pemimpin dua buah rumah ibadat tersebut membuka pintu rumah ibadat masing-masing kepada mangsa dan petugas, tanpa mengira identiti kaum atau agama untuk dijadikan tempat perlindungan.

“Malah dibenarkan umat Islam menunaikan solat dalam premis kuil dan sifat terpuji pemimpin kedua-dua rumah ibadat ini, memberikan harapan dan mengubati kebimbangan kita terhadap hubungan kaum di negara ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya