PETALING JAYA: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud berkenan menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Raja Salman berkenan menyampaikan perutusan takziah kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan keluarga Abdullah serta rakyat Malaysia.
Malah, baginda juga menitipkan doa kepada Seri Paduka agar terus dikurniakan kesihatan yang baik.
Sementara itu, Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman juga berkenan untuk menyampaikan perutusan takziah berasingan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mohammed menyampaikan rasa simpati mendalam kepada Perdana Menteri dan keluarga Abdullah, selain itu mendoakan agar Anwar sentiasa dalam keadaan sihat.
Abdullah selamat dikebumikan pada pukul 2.30 petang di Makam Pahlawan, Masjid Negara di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau telah kembali ke rahmatullah pada pukul 7.10 petang di Institut Jantung Negara, pada Isnin lalu.
Allahyarham disemadikan bersebelahan makam Perdana Menteri Ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn.
Lebih 3,000 jemaah hadir menunaikan solat jenazah Allahyarham di Masjid Negara yang turut dihadiri Anwar dan barisan kepimpinan negara serta rakyat jelata.-UTUSAN