Raja Perlis ingatkan wakil rakyat fokus masa depan negeri dan rakyat

Raja Perlis ingatkan wakil rakyat fokus masa depan negeri dan rakyat

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail (tiga dari kanan) pada majlis perasmian penggal persidangan ketiga sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN, Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mengingatkan setiap wakil rakyat agar memberi fokus kepada perkara-perkara penting berhubung masa depan negeri dan rakyat.

Baginda bertitah, mereka perlu menghindari sebarang tindakan kurang sopan atau membesarkan perkara-perkara yang remeh.

“Hal demikian kerana rakyat sentiasa memerhati dan menilai setiap tingkah laku wakil rakyat yang mereka pilih,” titah baginda bersempena perasmian penggal persidangan ketiga sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid dengan diiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail  bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. 

Tuanku Syed Sirajuddin turut mengingatkan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar dapat terus membantu kerajaan negeri dalam menggiatkan lagi promosi kepada pelabur ke negeri ini.

Titah baginda, berikutan itu, pihak terlibat perlu menjalinkan kerjasama erat dengan agensi-agensi pelaburan peringkat Persekutuan khususnya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), SME Corp dan lain-lain kerajaan negeri. 

“Pembangunan projek secara Private Finance Initiative (Inisiatif Kewangan Swasta) juga boleh diterokai dengan lebih mendalam sekiranya ia menjanjikan pulangan berbaloi kepada negeri,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, 2025 merupakan tahun terakhir bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan akan disusuli dengan aspirasi baharu untuk RMK13 bermula pada tahun hadapan sehingga 2030.

Baginda bertitah, statistik bilangan projek siap RMK12 berdasarkan kepada data MyProjek sehingga 25 Mac lalu merekodkan sebanyak 113 projek dan telah siap dilaksanakan dengan implikasi kewangan berjumlah RM1.8 billion.

“Bagi RMK13 ini pula, kerajaan negeri telah mengemukakan 61 cadangan projek dengan nilai keseluruhan berjumlah RM3.3 billion di bawah pelbagai kementerian,” titah baginda.

Sementara itu, baginda menghargai usaha kerajaan negeri atas kejayaan mencapai status sifar miskin tegar dan berdasarkan Bank Data Kemiskinan Nasional e-Kasih sehingga 31 Disember 2024 yang mana negeri ini telah tersenarai sebagai empat negeri yang mencatatkan sifar miskin tegar. 

Titah baginda, pelbagai inisiatif dan geran perniagaan kepada komuniti telah disediakan sebagai jambatan untuk mereka memulakan langkah pertama untuk keluar daripada kelompok kemiskinan ini.

“Beta juga mohon supaya Menteri Besar, ADUN dan kerajaan negeri untuk terus turun padang bagi memastikan golongan miskin tegar ini kekal sifar dan seluruh rakyat negeri Perlis keluar dari kepompong kemiskinan dengan tidak lagi bergantung harap kepada bantuan bulanan kerajaan semata-mata sebaliknya bersama-sama dapat membantu memajukan ekonomi untuk masa hadapan negeri,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya