Pulau Pinang: NCER catat realisasi pelaburan RM42.76b tahun lepas

Pulau Pinang: NCER catat realisasi pelaburan RM42.76b tahun lepas

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pulau Pinang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelaburan dan inovasi teknologi di Malaysia apabila mencatat pelaburan direalisasi bernilai RM42.76 bilion di samping mewujudkan hampir 9,000 peluang pekerjaan sepanjang tahun lepas.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pencapaian itu adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Momentum positif ini berterusan pada tahun ini dengan pelaburan sebanyak RM13.3 bilion dan 3,000 peluang pekerjaan baharu direalisasikan setakat suku pertama 2025 ini,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow menghadiri Majlis Kolaborasi Strategik bagi Kemajuan NCER Technology Innovation Centre (NTIC) dan NCER Entrepreneur Sustainable Transformation (NEST) di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri komited untuk menyokong inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh NCER, selaras dengan Visi Penang 2030 dan aspirasi Ekonomi Madani.

”NTIC dan NEST memainkan peranan penting dalam membangunkan ekosistem inovasi dan keusahawanan mampan di Pulau Pinang.

”Pada tahun 2024, NTIC telah membantu merealisasikan pelaburan sebanyak RM26.8 bilion dan mewujudkan lebih 900 peluang pekerjaan, manakala NEST berjaya meningkatkan jualan tahunan kumulatif syarikat-syarikat tempatan sebanyak RM197 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan berkata, NTIC yang terletak di Bayan Lepas, bertujuan memperkukuh ekosistem industri melalui tiga inisiatif utama.

”Inisiatif tersebut ialah Centre of Excellence (CoE), Advanced Technology Meister Programme (ATMP), dan Technology & Innovation (T&I). Pusat ini diharapkan dapat menjadi hab kerjasama antara PKS tempatan, syarikat multinasional dan institusi akademik,” katanya.

Tambahnya, program NEST terus menunjukkan impak positif dengan membantu 80 syarikat tempatan meningkatkan pendapatan dan mewujudkan 356 peluang pekerjaan baharu.

”Program ini memberi tumpuan kepada pengukuhan jenama, penerapan teknologi, dan pengurusan kewangan yang efisien. Dalam hal ini, NCER komited untuk memastikan Pulau Pinang kekal sebagai destinasi pelaburan utama dan pusat inovasi teknologi di rantau ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya