GEORGE TOWN : Beberapa kawasan di negeri ini khususnya di sekitar Sungai Pinang di sini dilanda banjir kilat awal pagi tadi selepas hujan lebat berterusan lebih daripada sejam.
Antara laluan yang terjejas di situ termasuk Jalan P. Ramlee dan Kampung Masjid, yang menyaksikan limpahan air berlaku sehingga memasuki beberapa rumah penduduk.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Timur Laut (DTL) berkata, satu pasukan yang terdiri daripada enam anggota telah digerakkan ke lokasi pada pukul 1.40 pagi bagi meninjau situasi banjir tersebut.
Katanya, tinjauan mendapati, paras air ketika itu telah naik secara mendadak dan memasuki beberapa kawasan kediaman.
“Tindakan awal dilakukan dengan membantu penduduk berpindah ke kawasan lebih tinggi dalam rumah masing-masing serta membantu memindahkan barangan dan kenderaan ke lokasi selamat,” katanya di sini, hari ini.
Menurut jurucakap terbabit, keadaan mula reda sekitar pukul 3 pagi tadi apabila hujan berhenti dan air dilaporkan mulai surut.
“Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa diterima,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, banjir kilat dilaporkan turut berlaku di kawasan Seberang Perai melibatkan kawasan Taman Siakap di Seberang Jaya.
“Setakat pukul 7 pagi tadi, air masih belum surut dan tiada mangsa dipindahkan buat masa ini,” katanya.-UTUSAN