PETALING JAYA: Pro-net, anak syarikat kepada pengeluar kereta nasional Proton merekodkan pencapaian baharu dengan jumlah penghantaran sebanyak 1,853 unit Proton e.MAS 7 bagi suku pertama 2025.
Dengan 797 unit terjual pada Mac, pegangan pasaran YTD bagi model ini sebanyak 30 peratus sekaligus mengukuhkan kedudukan Proton e.MAS 7 sebagai Model Kenderaan Elektrik (EV) Nombor satu di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, sokongan tersebut membuktikan syarikat mampu menyediakan ekosistem yang membolehkan pelanggan menikmati pengalaman pemanduan elektrik dengan penuh kepuasan.
“Pencapaian ini menjadi dorongan untuk kami terus memperbaiki diri dalam menawarkan produk berkualiti tinggi serta memberikan pengalaman pemilikan yang lebih baik kepada pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan.
Qiang berkata, Pro-Net mencatatkan sejumlah 1,145 sesi pengecasan yang dilakukan melalui aplikasi Proton e.MAS dalam tempoh tiga bulan.
“Matlamat kami bukan hanya sekadar menjual kereta, kami ingin membangunkan ekosistem yang lengkap yang tidak hanya melibatkan 36 pengedar dengan poin pengecasan DC dan perkhidmatan selepas jualan, tetapi juga seluruh infrastruktur pengecasan EV di Malaysia.
“Kami juga bekerjasama rapat dengan Pengendali Poin Pengecasan (CPO) untuk menjadikan pemilikan EV lebih mudah kerana kami mahu pelanggan kami beralih dari ICE ke EV dengan lancar,” katanya.
Selain itu, Proton e.MAS 7 mula mendapat pengiktirafan antarabangsa, bermula dengan debut kenderaan utiliti sukan (SUV) EV ini di Nepal dan akan dilancarkan tidak lama lagi di Trinidad dan Tobago.
Di samping itu, Proton e.MAS 7 sedang melalui perjalanan epik merentasi ASEAN, bermula dan berakhir di Malaysia. – UTUSAN