PETALING JAYA: Pembinaan projek-projek sempadan membabitkan Malaysia-Thailand akan mengukuhkan ekonomi wilayah sempadan membabitkan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dan meningkatkan pelaburan asing.
Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed), Dr. Zulkufi Zakaria berkata, projek pembangunan di sempadan itu akan merangkumi pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, kawasan perdagangan bebas dan zon ekonomi khas.
Katanya, ia sekali gus akan meningkatkan mobiliti pekerja dan barang sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan seperti Perlis, Kedah, Kelantan serta wilayah selatan Thailand seperti Narathiwat, Yala, dan Pattani.
“Antara kesan langsung adalah pertumbuhan PKS dan juga peluang pekerjaan. Selain daripada itu, ia boleh meningkatkan pelaburan asing dan perdagangan dua hala terutama dalam logistik dan pengangkutan, pertanian dan makanan.
“Hal ini kerana kawasan tersebut kaya dengan hasil pertanian serta integrasi rantaian bekalan. Pada masa sama, keuntungan sektor pelancongan juga akan dapat ditingkatkan dari peratus yang sedia ada. Dalam jangka panjang, ia boleh membentuk kerjasama ekonomi serantau seperti kawasan segi tiga pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
“Bagi tujuan pembinaan jambatan kedua di Rantau Panjang Sungai Golok pula, ia akan memberi rangsangan baru seperti aliran pelancongan yang lebih tinggi kepada pengunjung ke beberapa buah bandar iaitu Tumpat, Kota Bharu dan Narathiwat.,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Thailand atas komitmen diberikan untuk memajukan di sempadan kedua-dua negara termasuk pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau, Nor Azurah Md. Kamdari berkata, pembinaan jambatan kedua yang menghubungkan dua hala antara Malaysia-Thailand dapat menjimatkan kos logistik negara.
“Pembangunan projek itu akan menyuntik pendapatan kepada negara melalui import dan eksport. Ia sekali gus dapat mengurangkan kos pengangkutan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan melalui perjalanan udara dalam menjalankan urusan pengimportan atau pengeksportan.
“Selain itu, perkembangan ini juga menguntungkan sektor pelancongan kedua-dua negara memandangkan Thailand menjadikan sektor pelancongan sebagai sumber pendapatan negara selain mengeksport beras ke Malaysia,” katanya. – UTUSAN