GEORGE TOWN : Pengambilan tanah bagi pelaksanaan Projek Pan Island Link 2A (PIL 2A) Fasa 1 di Permatang Damar Laut di sini dibuat mengikut peruntukan undang-undang termasuk pemberian pampasan berdasarkan nilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Menurut Pejabat Ketua Menteri, secara keseluruhan, nilai pampasan oleh pentadbir tanah kepada pihak berkepentingan yang terdiri daripada tuan tanah, pemilik serta penyewa bangunan, pemegang gadaian dan lain-lain majoritinya adalah melebihi RM1.5 juta bagi setiap tuan tanah.
Katanya, selain itu, tiga individu tanpa geran pula menerima bayaran ex-gratia masing-masing sebanyak RM43,500 malah secara keseluruhan, Pentadbir Tanah Daerah juga telah menyalurkan jumlah pampasan dan ex-gratia berjumlah RM24.27 juta sejak Disember 2024.
“Projek infrastruktur tersebut penting demi manfaat jangka panjang rakyat, dan proses pengambilan tanah telah dijalankan secara telus serta adil.
“Dalam hal ini, kerajaan negeri menggesa semua pihak berkepentingan untuk akur kepada proses undang-undang di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah 1960 dan mengosongkan premis atau tapak masing-masing selewat-lewatnya pada 15 April ini,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, tarikh 15 April ditetapkan sebagai tarikh pelanjutan pengambilan tanah buat kali kedua selepas tempoh pelanjutan pertama berakhir pada 28 Februari lalu.
Pelanjutan itu terpaksa dilakukan selepas beberapa pihak berkepentingan termasuk pemilik lot tanah membantah nilai pampasan yang diberikan oleh kerajaan negeri bagi tujuan pengambilan tanah untuk Projek Pan Island Link 2A (PIL 2A) Fasa 1 di kawasan Permatang Damar Laut.
Mengulas lanjut, Pejabat Ketua Menteri memberitahu, selaras dengan prosedur di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960, Pentadbir Tanah Daerah telah menerima bantahan Borang N (Bantahan Ke Mahkamah) daripada 30 pihak berkepentingan yang melibatkan 11 lot tanah tersebut.
“Lanjutan itu, pentadbir tanah diperuntukkan tempoh selama enam bulan berdasarkan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk menyediakan Borang O sebagai rujukan ke mahkamah bagi proses pendengaran bantahan selanjutnya di mahkamah.
“Umumnya, sebarang rayuan adalah perlu melalui undang-undang pengambilan tanah dan pihak berkepentingan perlu menerima keputusan seterusnya yang diputuskan oleh pihak mahkamah,” katanya.
Jelasnya lagi, kerajaan negeri akan membantu pihak-pihak yang berkepentingan yang terlibat bagi mengelakkan timbulnya sebarang perselisihan faham selain demi menjaga kepentingan semua pihak.
Dalam perkembangan berkaitan, satu pertemuan dan sesi soal jawab juga telah diadakan antara Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bersama penduduk pada 14 Januari lalu sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjernihkan keadaan serta memberi ruang rundingan. – UTUSAN