PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengeluarkan produk makanan dari Indonesia yang mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi sekiranya didapati berada di pasaran tempatan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan Jakim untuk memastikan produk berkenaan dikeluarkan segera dari pasaran negara.
“Kita akan bekerjasama rapat dengan Jakim dan agensi agama di peringkat negeri, bersandarkan kepada pengumuman yang dibuat oleh badan pensijilan halal di Indonesia.
“Justeru, kita akan ambil tindakan segera untuk menangani perkara ini,” katanya menerusi sidang akhbar pada Majlis Sambutan Aidilfitri KPDN di sini, hari ini yang dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, Jakim mengarahkan pengimport menarik balik produk makanan Indonesia yang didapati mengandungi DNA babi dari pasaran tempatan susulan pengumuman rasmi oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia semal, berhubung penarikan balik produk terbabit.
Berdasarkan siaran media rasmi BPJPH, hasil pemantauan bersama dengan BPOM mendapati 11 kelompok daripada sembilan produk makanan dikesan mengandungi DNA babi (porcine) melalui analisis makmal.
Daripada jumlah itu, sembilan kelompok daripada tujuh produk memiliki sijil halal, manakala dua kelompok daripada dua produk tidak memiliki sijil halal. – UTUSAN