PRK Ayer Kuning: Tiada isu boikot calon BN - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

PRK Ayer Kuning: Tiada isu boikot calon BN – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi (tiga dari kiri) bersama pemimpin BN dan PH sebelum mengiringi Mohamad Yusri Bakir ke pusat penamaan calon bagi PRK AYer Kuning di Tapah hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Barisan Nasional (BN) menafikan dakwaan wujud tindakan boikot oleh Pemuda UMNO Bahagian Tapah terhadap Mohamad Yusri Bakir pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada sebarang pergeseran berlaku membabitkan calon BN dan Ketua Pemuda UMNO Tapah, Fahmi Ahmad Jakhisi.

Katanya, kerjasama di antara UMNO Tapah juga berada pada tahap baik dan beliau yakin, sayap pemuda akan memberikan sokongan kepada calon BN yang bertanding di kerusi DUN berkenaan.

“Tidak ada (dakwaan boikot oleh Pemuda UMNO) kerana dia (Fahmi) ada dalam setiap mesyuarat yang diadakan di peringkat negeri atau bahagian.

“Insya-Allah, jentera mereka (Pemuda UMNO Tapah) akan memberi dokongan sepenuhnya kepada Mohamad Yusri sebagai calon di DUN Ayer Kuning,” katanya dalam sidang akhbar selepas proses penamaan calon bagi PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka Tapah, di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan memboikot Mohamad Yusri pada PRK DUN Ayer Kuning meskipun calon daripada Pemuda tidak terpilih untuk PRK berkenaan.

Menurut Akmal, walaupun tidak dicalonkan kali ini, semangat perjuangan Pemuda tetap utuh selepas kejayaan besar calonnya dalam PRK Nenggiri dan Mahkota sebelum ini.

Sementara itu, ditanya mengenai isu yang akan dimainkan calon lawan, Ahmad Zahid menjangkakan isu di peringkat nasional akan menjadi bahan kempen pihak lawan untuk menarik sokongan pengundi.

Menurutnya, beliau yakin jenteranya sudah bersedia untuk menghadapi isu-isu yang bakal dimainkan oleh pembangkang nanti

“Saya tidak nampak ada banyak isu-isu tempatan yang akan dimainkan. Mungkin mereka akan membawa isu-isu peringkat Nasional.

“Unit Komunikasi kita bersedia untuk menangkis semua isu-isu yang dibangkitkan itu dan ini semua mungkin tidak relevan dengan pengundi di sini,” katanya.

Pada PRK DUN Ayer Kuning, Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Mohamad Yusri, 54, menghadapi saingan tiga penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bekas Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh itu ditentang calon PN, Abdul Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya