TAPAH: Sentimen dan persepsi negatif yang dimainkan pihak tertentu mengenai pemimpin Melayu dalam DAP tidak menggugat sokongan rakyat kepada calon kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Syahredzan Johan berkata, kebanyakan tanggapan negatif itu timbul daripada pihak yang tidak mengenali pemimpin Melayu dalam DAP dengan lebih dekat.
katanya, stigma itu akan berubah apabila rakyat menyaksikan sendiri kemampuan dan peranan aktif mereka di kawasan masing-masing.
“Kalau betul-betul mahu lihat orang Melayu DAP buat kerja, datanglah ke Bangi, Bentong dan Johor. Boleh lihat sendiri bagaimana kita buat kerja.
“Saya fikir kebanyakan persepsi itu wujud daripada situasi di mana orang ramai tidak kenal pemimpin Melayu DAP.
“Orang cakap tidak kenal maka tidak cinta, jadi dengan cara turun ke sini (Tapah) dan tempat-tempat lain, rakyat boleh mengenali kami dengan lebih dekat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Yang turut hadir, Penolong Setiausaha Publisiti DAP yang juga Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.
Menurut beliau, rakyat di Perak juga tidak asing dengan pemimpin Melayu dalam DAP dan telah lama menerima kehadiran mereka.
“Di Perak kita ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari yang juga Naib Pengerusi DAP Perak. Jadi warga Perak sebenarnya tidak asing dengan DAP,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai bantuan dan sokongan terhadap Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, beliau berkata, jentera DAP komited dalam menyokong penuh kempen dijalankan calon kerajaan Perpaduan bagi DUN Ayer Kuning.
Katanya, tumpuan akan diberikan dibeberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) selain memberi penekanan mengenai prestasi kerajaan negeri bagi meraih sokongan dan keyakinan rakyat.
“Saya fikir antara cabaran dalam mana-mana PRK apabila keterujaannya tidak sama dengan pilihan raya umum lebih-lebih lagi hari raya Aidilfitri baru berlalu.
“Jadi, peranan kita sekarang adalah untuk menyakinkan pengundi keluar mengundi dan pengundi (luar) pulang ke kampung. Saya fikir itu antara perkara yang akan diberi tumpuan oleh DAP dalam kempen di beberapa PDM,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan saingan tiga penjuru antara Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Mohamad Yusri dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40. – UTUSAN