PRK Ayer Kuning: Penyokong berkumpul iringi calon ke pusat

PRK Ayer Kuning: Penyokong berkumpul iringi calon ke pusat penamaan

PENYOKONG BN mengibarkan bendera parti ketika menuju ke kawasan pusat penamaan calon PRK Ayer Kuning di Dewan Merdeka Tapah. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Suasana pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Dewan Merdeka di sini, tenang dengan penyokong parti bertanding mula memenuhi kawasan yang disediakan pihak berkuasa.

Laluan utama di Jalan Raja yang terletak kira-kira 200 meter dari pusat penamaan telah ditutup seawal tengah malam tadi.

Laluan yang turut ditutup ialah Jalan Kelab dan Jalan Stesen.

Proses penamaan calon dijadualkan bermula pukul 9 pagi ini dengan mereka yang berhasrat untuk bertanding mempunyai masa sejam untuk mengemukakan borang pencalonan diikuti pengumuman nama individu bertanding pada PRK berkenaan.

PRK DUN Ayer Kuning dijangka menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) serta Parti Sosialis Malaysia (PSM).

BN menamakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Mohamad Yusri Baki, 54, bagi mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning.

Bekas Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh itu dijangka menentang calon PN, Abdul Muhaimin Malek, 44, yang juga merupakan Yang Dipertua Pas Tapah.

Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani K.S., 40, pula dipilih sebagai calon mewakili parti tersebut pada PRK kali ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

Ishsam yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri ketika bersalaman dengan pemain di tepi padang sempena Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, George Town.

Beliau yang pertama kali bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022 berjaya memenangi kerusi DUN Ayer Kuning de­ngan majoriti 2,213 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya