PONTIAN: Pengundi di Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Ayer Kuning hanya mempunyai dua pilihan iaitu sama ada memilih wakil rakyat yang akan menjadi sebahagian daripada kerajaan atau menjadi seorang wakil rakyat pembangkang.
Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sekiranya pengundi memilih calon lawan, Ayer Kuning akan menjadi kawasan pembangkang di DUN Perak sehingga pilihan raya umum (PRU) dijalankan.
Menurut beliau, oleh itu adalah penting kepada pengundi di DUN tersebut memilih calon Barisan Nasional (BN) yang seiring dengan kerajaan negeri dan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.
“Diharapkan mereka membuat keputusan yang bijak dengan mempertahankan Ayer Kuning supaya tidak terlepas kepada tangan orang lain, kerana penyandangnya adalah daripada UMNO.
“Jadi sekarang ini saya rasa tidak mustahil untuk mempertahankannya tetapi jangan terlalu selesa kena bekerja, kerana pihak lawan juga bekerja, mereka tidak tidur malah mereka buat apa yang kita buat,” katanya
Beliau berkata demikian pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pontian dan UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Pontian di sini hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menambah, beliau telah ke Ayer Kuning bertemu dengan kepemimpinan UMNO Bahagian Tapah serta melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) di sana.
“Daripada maklum balas yang diterima, mereka inginkan supaya BN dan UMNO kekal mewakili pengundi di kawasan tersebut sepertimana Allahyarham Ishsam Shahruddin,” ujarnya.
Pilihan Raya Kecil (PRK ) DUN Ayer Kuning pada 26 April ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN. Dr. Mohamad Yusri Bakir dan calon Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS. – UTUSAN