PRK Ayer Kuning: Pemimpin Kerajaan Perpaduan termasuk

PRK Ayer Kuning: Pemimpin Kerajaan Perpaduan termasuk DAP, PKR iringi calon BN

AHMAD Zahid Hamidi disambut penyokong ketika tiba untuk mengiringi calon BN ke pusat penamaan PRK Ayer Kuning di Tapah. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Beberapa kepimpinan Kerajaan Perpaduan tiba di Arena TN 50 Tapah di sini bagi memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Antaranya Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang.

Turut hadir memberi sokongan ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Pengarah Pilihan Raya DAP Pusat, Wong Kah Woh; Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Penyokong calon Kerajaan Perpaduan mula berkumpul di Arena TN 50 Tapah seawal pukul 7 pagi manakala penyokong Perikatan Nasional (PN) pula berkumpul di Surau Asyakirin, Jalan Damai.

Calon yang bertanding akan berjalan kaki ke pusat penamaan calon di Dewan Merdeka dengan diiringi penyokong pada pukul 9 pagi.

Kira-kira 778 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut ditempatkan di lokasi sekitar pusat penamaan calon bagi mengawal keselamatan.

PRK DUN Ayer Kuning dijangka menyaksikan pertembungan antara calon BN dengan PN serta Parti Sosialis Malaysia (PSM).

BN menamakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Mohamad Yusri Baki, 54, bagi mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning.

Bekas Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh itu dijangka menentang calon PN, Abdul Muhaimin Malek, 44, yang juga merupakan Yang Dipertua Pas Tapah.

Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani K.S., 40, pula dipilih sebagai calon mewakili parti tersebut pada PRK kali ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya