IPOH: Semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dinasihatkan untuk memohon permit lebih awal bagi mengadakan ceramah dan kempen.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, permohonan lebih awal itu bagi memastikan tiada pertembungan lokasi antara parti bertanding.
“Kita saran mereka untuk mohon awal supaya tidak berebut tempat. Kita tidak mahu lokasi yang terlalu hampir antara satu ceramah dengan ceramah lain. Seboleh-bolehnya kita akan mengambil kira jarak dan masa untuk elak pertembungan.
“Ketua Polis Daerah akan melihat lokasi yang dipohon itu nanti. Jika hampir kita akan cadang lokasi lain. Itu satu kaedah untuk mengelak provokasi jika sebelah menyebelah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini hari ini.
Menurut beliau, setakat ini polis telah menerima lima permohonan permit untuk ceramah parti politik yang bertanding sejak hari penamaan calon Sabtu lalu dan kesemua permohonan itu telah diluluskan.
Katanya, tiada tangkapan mahupun insiden khianat dilaporkan termasuk membabitkan kes merosakkan poster dan bendera parti lawan yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni.
“Sejak hari penamaan calon, 17 kempen telah diadakan oleh ketiga-tiga parti yang bertanding di mana 12 program melibatkan kempen harian dan dua ceramah dengan permit,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan saingan tiga penjuru antara Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Mohamad Yusri, 54, dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh 14 hari berkempen bermula 12 April dengan pengundian awal PRK pada 22 April manakala 26 April sebagai hari mengundi. – UTUSAN