PRK Ayer Kuning: Elak fitnah, sentuh elemen 3R sewaktu kempen

PRK Ayer Kuning: Elak fitnah, sentuh elemen 3R sewaktu kempen

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi akan terus memantau penggunaan media sosial sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning supaya tidak disalahguna untuk menyebarkan berita palsu, kandungan berunsur fitnah serta isu-isu sensitif berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, semua pihak terlibat dalam kempen digesa bertindak secara bertanggungjawab dengan mengelakkan penyebaran fitnah dan tidak memainkan sentimen yang boleh menimbulkan ketegangan.

Beliau berkata, pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berkuat kuasa pada 11 Februari lalu membolehkan tindakan tegas diambil ke atas mana-mana individu yang melanggar undang-undang.

“Saya nasihatkan untuk semua berkempen dengan baik, elakkan menabur fitnah atau menggunakan elemen 3R dalam kempen, terutama di media sosial kerana kita mempunyai keupayaan untuk mengesan pihak yang menghantar mesej dan komen,” katanya.

“Sekiranya seseorang itu didapati bersalah mengikut Seksyen 233, dia boleh didenda sehingga RM500,000. Jumlah itu sangat besar dan saya harap ia menjadi peringatan supaya kita elakkan daripada menyebarkan fitnah sepanjang tempoh kempen dan pada setiap masa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai, semalam.

PRK DUN Ayer Kuning yang akan berlangsung pada 26 April ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.

Pertembungan tiga penjuru menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Dr. Mohamad Yusri Bakir, bakal berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.

Mengulas mengenai calon BN, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, Dr. Mohamad Yusri mempunyai peluang cerah untuk meraih kemenangan dan mempertahankan kerusi berkenaan.

“Saya telah bertemu dengan calon beberapa hari lalu dalam lawatan ringkas ke Ayer Kuning. Beliau bukan sahaja berpengalaman, tetapi juga berpendidikan. Saya lihat peluang setakat ini cerah, namun ia perlu diusahakan dengan baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi memberi jaminan pembangunan pesat yang dirancang di Lembah Pantai tidak akan mengetepikan hak mana-mana pihak, khususnya dengan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (PSB).

“RUU PSB ini tidak akan mengetepikan hak mana-mana pihak seperti yang dituduh. Malah, dengan adanya akta ini, hak mereka yang terlibat akan terjamin dan terbela.

“Tanpa mengira kelas, agama, kaum atau latar belakang, kita akan bersikap adil kepada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan di Lembah Pantai akan melibatkan pembinaan lima stesen Transit Aliran Massa (MRT) termasuk di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Simpang Pantai Permai dan KTM Pantai Dalam.

Sebagai Ahli Parlimen, Fahmi berkata, beliau akan terus berusaha memperbaiki mutu perkhidmatan dan meningkatkan kesejahteraan penduduk di kawasan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya