TANJUNG MALIM: Barisan Nasional (BN) memberi tumpuan menarik pengundi atas pagar pada baki tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, untuk itu BN menggerakkan sepenuhnya jentera kempen yang terdiri daripada jentera tempatan, bahagian-bahagian lain dalam negeri dan jentera dari negeri luar.
Menurutnya, BN akan menarik pengundi atas pagar untuk memastikan kemenangan lebih besar supaya DUN Ayer Kuning terus kekal sebagai kawasan kerajaan.
“Komposisi pengundi secara puratanya 40 peratus adalah penyokong kerajaan, 30 peratus pengundi atas pagar manakala 30 peratus lagi menyokong pembangkang.
“Namun berdasarkan prestasi BN yang konsisten di DUN ini, pecahan sokongan semasa semakin meningkat kepada parti kerajaan, iaitu sekitar 60 peratus, 20 peratus pengundi atas pagar dan 20 peratus pembangkang. Jadi 20 peratus pengundi atas pagar inilah yang kita sasarkan sekarang,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melawat jambatan runtuh Sungai Liat di Felda Sungai Klah dekat Sungkai di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri dan kerajaan Pusat kini di bawah gabungan yang sama, maka adalah penting untuk pengundi mengekalkan Kerajaan Perpaduan dengan membuat keputusan yang matang dan tidak mengikut emosi.
“Kita tidak mahu DUN Ayer Kuning jatuh ke tangan pembangkang. Kita mahu kesinambungan pembangunan yang telah digerakkan oleh Allahyarham Ishsam Shahruddin diteruskan oleh Dr. Mohamad Yusri Bakir (calon BN),” katanya.
Mengenai pengundi luar, beliau menggesa pengundi luar yang menyokong BN pulang untuk mengundi pada Sabtu ini.
Kata beliau, kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam kempen PRK di sini berada pada tahap baik dan harmoni, dengan kehadiran pemimpin kedua-dua parti yang turun padang.
“Kita harap gabungan sokongan pengundi BN dan PH iaitu masing-masing sekitar 9,000 dan 6,800 undi benar-benar terjadi.
“Jumlah itu cukup untuk memberikan kita majoriti lebih besar berbanding PRU-14 dan PRU-15 tapi kita perlukan sekurang-kurangnya 70 peratus keluar mengundi untuk pastikan kemenangan selesa,” katanya. – UTUSAN