TAPAH: Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir akur dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melarang penggunaan jentera kerajaan ketika kempen pilihan raya.
Mohamad Yusri, 54, berkata, sebagai calon, dia dan pasukannya mengambil maklum ketetapan itu sekali gus meletakkan keyakinan penuh pada kekuatan jentera parti dalam melaksanakan kempen.
Menurut beliau, dengan gerak kerja dan usaha bersungguh-sungguh jentera parti menyantuni akar umbi dan pengundi, ia mampu membantu mengekalkan kemenangan BN di Ayer Kuning.
“Apa yang disebut oleh Perdana Menteri itu kita sokong. Kita tidak akan menggunakan jentera kerajaan ketika berkempen dan sudah pasti kita akan mematuhi apa yang telah digariskan oleh kerajaan
“Saya yakin atas usaha bersungguh-sungguh dan penerimaan baik masyarakat, insya-Allah kita boleh capai apa yang dihajati (kemenangan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra bersama pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Air Kuning, di sini hari ini.
Menurut Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu, beliau menerima maklum balas positif daripada penduduk sekitar DUN Ayer Kuning ketika hadir menyantuni mereka melalui program yang dianjurkan.
Jelas beliau, dalam tempoh lima hari kempen berlangsung, kebanyakan isu yang dibangkitkan adalah berkaitan infrastruktur yang perlu diberi perhatian untuk keselamatan dan keselesaan penduduk.
“Selain itu, kita juga ada menjalankan kempen dari rumah ke rumah. Kita bukan hanya beri tumpuan kepada rumah yang mungkin didiami orang uzur malah individu berpengaruh yang dapat membantu memperkukuhkan kempen,” katanya.
Pada PRK DUN Ayer Kuning, Mohamad Yusri yang juga Bekas Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) menghadapi saingan tiga penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek, 44, dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu. – UTUSAN