IPOH: Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menyeru semua pengundi DUN Ayer Kuning, khususnya mereka yang menyokong calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, agar terus menyokong Kerajaan Perpaduan dengan mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada PRK tersebut.
Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan, Amanah percaya kestabilan, kesinambungan dasar dan keupayaan menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat hanya dapat dicapai melalui calon yang bersama kerajaan yang mentadbir negeri dan negara.
“Undi kepada calon BN dalam PRK ini bukan sekadar sokongan kepada parti, tetapi adalah undi kepada kestabilan pentadbiran, kesinambungan pembangunan, dan jaminan suara Ayer Kuning terus didengari dalam pentadbiran negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kedua-dua parti telah mulakan langkah bersama dalam PRU15 dan PRK ini adalah peluang untuk memastikan momentum itu tidak terputus.
Beliau berkata, jangan biarkan suara rakyat terpisah daripada kerajaan yang memerintah, kerana itu akan menyukarkan banyak urusan yang sepatutnya sampai kepada rakyat.
“Amanah menyeru agar semangat muafakat dan perpaduan yang dibina ini diteruskan hingga ke peti undi.
“Bersama, kita pastikan Ayer Kuning terus berada dalam arus pembangunan dan perhatian kerajaan,” katanya.
Proses mengundi pada PRK Ayer Kuning ditetapkan pada Sabtu ini. – UTUSAN