KUALA LUMPUR: Prestasi keseluruhan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan membanggakan apabila 43 daripada 84 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi.
Lima mata pelajaran teras termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik turut mencatat peningkatan, dengan Bahasa Inggeris merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 0.23 mata Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).
Malah lima mata pelajaran memperoleh GPMP 0.00 iaitu semua calon berjaya mendapat gred A+.
Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Megat Affandi Ismail berkata, sebanyak 54 mata pelajaran mencatat keputusan 100 peratus lulus, sekali gus menjadi antara pencapaian terbaik di Kuala Lumpur sejak 2017.
“Peratus bilangan mata pelajaran calon yang memperoleh gred cemerlang A+ hingga A- adalah sebanyak 27.90 peratus, iaitu yang tertinggi sejak tahun 2017.
“Ini adalah gambaran jelas usaha berterusan para guru dan pelajar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Rasmi Keputusan Peperiksaan SPM 2024 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Media melaporkan pencapaian SPM 2024 keseluruhan merekodkan keputusan terbaik dalam tempoh 11 tahun lalu iaitu sejak diperkenalkan syarat pensijilan wajib lulus subjek Bahasa Melayu dan Sejarah pada tahun 2013.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, nilai gred purata keseluruhan (GPK) pada 2024 merekodkan pada 4.49 mata berbanding 4.06 mata pada 2023 yang mengecil sebanyak 0.11 mata.
Menurut Megat, dalam kategori mata pelajaran elektif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sebanyak lapan mata pelajaran mencatat peningkatan, termasuk subjek Pertanian yang menunjukkan lonjakan tertinggi sebanyak 1.49 mata GPMP berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, bagi kumpulan elektif Kemanusiaan dan Sastera Ikhtisas, empat daripada 12 mata pelajaran menunjukkan peningkatan manakala subjek Pengajian Keusahawanan mencatat peningkatan tertinggi sebanyak 0.64 mata GPMP.
Sementara itu, beliau berkata, 10 daripada 17 mata pelajaran vokasional turut mencatat peningkatan prestasi, di samping subjek Al-Syariah dan Bahasa Arab dalam kumpulan elektif Pengajian Islam dan Bahasa yang menunjukkan prestasi memberangsangkan.
“Peningkatan ini turut disumbang oleh pendekatan holistik sekolah-sekolah di bawah JPWPKL yang menekankan bimbingan akademik seimbang dengan pembangunan sahsiah,” katanya.
Dalam aspek pensijilan, Megat berkata, seramai 14,494 calon atau 92.82 peratus layak menerima sijil SPM tahun ini, meningkat berbanding 92.52 peratus pada tahun lalu yang merupakan pencapaian terbaik sejak 2013.
Tambah beliau, prestasi cemerlang ini mencerminkan kejayaan pelaksanaan pelbagai inisiatif Reformasi Pendidikan oleh Kementerian Pendidikan dalam memastikan akses pendidikan berkualiti dan saksama untuk semua.
“Kami akan terus komited menyediakan sistem pendidikan yang inklusif dan mampan demi melahirkan generasi Malaysia Madani yang holistik, berdaya saing dan berakhlak mulia,” katanya.-UTUSAN