Polis siasat tragedi Putra Heights termasuk jenayah dan kecuaian

Polis siasat tragedi Putra Heights termasuk jenayah dan kecuaian -Razarudin

KETUA Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika sidang media perkembangan susulan kebakaran paip gas dekat Jalan Putra Harmoni, Putra Heights. UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Unsur jenayah dan kecuaian antara elemen yang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini bagi mengenal pasti punca kejadian letupan dan kebakaran di Putra Heights di sini pada Selasa lalu. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan pihaknya kini tertumpu kepada pelbagai aspek termasuk unsur jenayah dan kecuaian.

“Buat masa ini siasatan ini menjurus kepada elemen jenayah dan kecuaian. 

“Kecuaian ini banyak, ada yang kata ia disebabkan faktor manusia namun ada juga kemungkinan berlaku pergerakan tanah di bawah permukaan.

“Tekanan tinggi daripada aliran air dan macam-macam faktor lain juga boleh jadi punca. Itulah yang kita bincangkan tadi,” katanya kepada pemberita ketika melawat lokasi kejadian di sini hari ini. 

Menurutnya, fokus siasatan di lokasi kejadian hari ini tertumpu kepada sudut geoteknikal iaitu keadaan tanah di kawasan ‘ground zero’ yang melibatkan 10 agensi. 

Jelasnya, pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak forensik sedang menilai tahap keselamatan di lokasi kejadian bagi mengelakkan risiko insiden tanah jerlus. 

“Pasukan bomba pula akan memastikan semua siasatan forensik dilakukan dengan pemantauan keselamatan rapi.

“Kita risau keadaan tanah di situ, kekuatannya belum dipastikan. Bila kita masuk, kita tidak tahu sama ada tanah itu kukuh atau tidak.

“Kita bimbang jika berlaku kejadian tanah jerlus pula. Itu sangat penting bagi memastikan tiada sebarang kecederaan berlaku lagi,” katanya. 

Tambahnya, pihak polis turut menitikberatkan faktor keselamatan di lokasi kejadian membabitkan penduduk di Jalan Putra Harmoni di sini. 

“Dari sudut keselamatan pula, keselamatan pelawat yang berada di kawasan ini serta kesejahteraan secara keseluruhannya adalah perkara utama yang kita tekankan,” ujarnya. 

Selasa lalu, media melaporkan saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni di sini meletup sebelum terbakar pada pukul 8.10 pagi.

Kejadian itu mengakibatkan sebanyak 219 rumah didapati terjejas manakala 220 kediaman disahkan selamat dan tidak terkesan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaprkan berkata, ia hasil penilaian akhir fizikal oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, syarikat utiliti dan pihak berkuasa tempatan terhadap 439 rumah dalam radius 325 meter dari pusat letupan.

“Daripada jumlah itu, 87 rumah mengalami kerosakan besar melebihi 20 peratus manakala 132 lagi mengalami kerosakan kecil kurang 20 peratus,” katanya.

Kelmarin,  polis mengesahkan terdapat kerja-kerja pe­ngorekan tanah sebelum letupan dan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, di sini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya