PETALING JAYA: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung pertengkaran pasangan kekasih dengan seorang wanita sebelum kenderaan dinaiki mereka dikejar sehingga berlakunya kemalangan, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 24 tahun, semalam.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 3.30 petang ketika pengadu terjumpa teman lelakinya bersama seorang wanita dikenali di sebuah pasar raya di Puchong.
“Pertemuan itu mengakibatkan berlaku pertengkaran sebelum wanita terbabit memukul pengadu sehingga cedera di muka.
“Selepas itu berlaku pergelutan antara pengadu bersama teman lelakinya ketika cuba mendapatkan telefon bimbit wanita berkenaan daripada pengadu.
“Pergelutan itu menyebabkan telefon bimbit wanita terbabit dan pengadu jatuh, pecah serta rosak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, si teman lelaki menawarkan menghantar pengadu ke rumah bersama wanita terbabit, namun kemudian bertindak memandu menghala ke kampung menyebabkan berlaku pertengkaran antara ketiga-tiga mereka, sebelum lelaki itu berpatah balik.
Jelasnya, pengadu turut mendakwa dipukul oleh kedua-dua individu terbabit semasa dalam perjalanan.
“Semasa tiba di rumah pengadu di Bandar Baru Sri Petaling, abang pengadu menghampiri kenderaan mereka, namun lelaki itu memandu laju dan hampir melanggar abang pengadu.
“Abang pengadu kemudian bertindak memandu mengejar kenderaan berkenaan sehingga Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Plaza Tol Gopeng, Perak dan berlaku kemalangan,” katanya.
Tambah Anbalagan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, akhbar melaporkan insiden sebuah Honda City mengejar kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Ertiga di Kilometer (KM) 308 PLUS berakhir dengan kemalangan tiga kenderaan. – UTUSAN