ALOR SETAR: Guru lelaki sebuah sekolah swasta di daerah ini yang ditahan polis, Sabtu lalu kerana melakukan gangguan seksual terhadap pelajarnya kini direman untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan selepas polis menerima dua laporan daripada pelajar dan bekas pelajarnya.
Menurutnya, kedua-dua mangsa berusia 15 dan 25 tahun itu mendakwa guru terbabit menggangu mereka secara seksual melalui hantaran pesanan berbaur lucah selain mengajak melakukan hubungan seks.
“Laporan pertama diterima pada 18 April daripada mangsa yang merupakan bekas pelajar kepada guru terbabit. Mangsa tampil setelah mendapat tahu bahawa guru itu turut melakukan perbuatan sama terhadap pelajar lain.
“Mangsa kedua yang masih belajar di sekolah itu membuat laporan sehari kemudian yang turut mendakwa guru sama meminta gambar bogelnya selain mengajak untuk melakukan hubungan seks,” katanya di sini, hari ini.
Siti Nor Salawati berkata, suspek ditahan pada pukul 4.45 petang, 19 April lalu susulan dua laporan terbabit yang turut bimbang keselamatan diri dan khuatir perkara sama berlaku ke atas pelajar lain.
“Suspek kini direman selama empat hari sehingga 23 April bagi membantu siasatan. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana khuatir akan menimbulkan kegusaran terhadap ketenteraman awam,” ujarnya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan hendaklah dipenjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya kerana kesalahan mengaibkan kehormatan seseorang.
Katanya, siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 15(a)/11 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak 2017 yang boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau didenda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.
Sementara itu, Setiausaha Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Keat Hwa (Persendirian), Ng Koh Weng dalam satu sidang akhbar mengesahkan guru terbabit berkhidmat di sekolah itu dan kini sudah ditamatkan perkhidmatan seperti diputuskan dalam satu mesyuarat ekoran penahanannya.
“Kira-kira pukul 5 petang, 19 April lepas pihak sekolah menerima panggilan daripada polis memaklumkan penahanan guru itu atas aduan pelajar berhubung gangguan seksual.
“Pihak sekolah menubuhkan satu jawatankuasa serta-merta dan memutuskan beberapa perkara termasuk menghentikan guru itu dan menghalangnya memasuki sekolah. Ini untuk mencegah sebarang gangguan terhadap mangsa,” katanya.
Koh Weng berkata, pihak sekolah memberikan kerjasama penuh kepada polis termasuk sudah menyerahkan semua dokumen dan fail berkaitan untuk proses siasatan.
“Satu laporan juga diserahkan kepada Kementerian Pendidikan. Apa yang kita lakukan adalah demi keselamatan pelajar terlibat dan menjaga privasi mereka,” jelasnya.
Tambahnya, pihak sekolah juga akan mengadakan sesi kaunseling kepada mangsa untuk memastikan kebajikan mereka terjaga, selain melantik kaunselor peribadi serta memberi sesi taklimat kepada semua pelajar dan guru sekolah itu. – UTUSAN