PETALING JAYA: Pegawai penyiasat menafikan wujud niat tidak baik sepanjang mengendalikan siasatan kes pengabaian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Perkara itu dinyatakan Asisten Superintenden (ASP) Mohd. Hafizee Ismail selepas proses penyiasatannya dipertikai peguam Haresh Mahadevan semasa sesi pemeriksaan balas.
Haresh: Saya cadangkan kepada ASP, bukan sahaja saksi-saksi diminta untuk memainkan dan mengenakan tertuduh, anda juga memainkan satu peranan di mahkamah untuk memesong fakta semata-mata hendak dapatkan satu sabitan. Betul atau tidak?
Mohd. Hafizee: Tidak betul.
Haresh: Saya cadangkan kepada ASP sekali lagi, penyiasatan terhadap kes ini sambil lewa dan hanya menumpukan perhatian untuk mengenakan kedua-dua tertuduh. Setuju atau tidak?
Mohd. Hafizee: Tidak setuju.
Dalam pada itu, saksi itu turut menolak cadangan pihak pembelaan yang menyatakan siasatan dijalankan terhadap kes adalah lemah dan tidak lengkap.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung esok.
Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, kedua-duanya berusia 30 tahun yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023, pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.
Pertuduhan masih kekal mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN