PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa bulan sabit semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dibuka susulan 13 laporan diterima PDRM berhubung perkara itu.
Beliau berkata, siasatan akan dilakukan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan penerbitan 1984.
“Ya, kita ada terima laporan polis dan kita buka siasatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai ilustrasi Jalur Gemilang yang diletakkan bersebelahan bendera China tidak lengkap apabila tidak diletakkan bulan sabit.
Kesilapan itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia dan menyifatkan akhbar tersebut sebagai tidak peka.
Dalam pada itu, akhbar berbahasa Cina itu tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa bulan sabit pada muka hadapan akhbar itu.
Dalam satu kenyataan, agensi media berkenaan menjelaskan bulan sabit tidak kelihatan dalam ilustrasi tersebut disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
“Kami berasa amat kesal dan kecewa dengan kekhilafan tersebut. Bagi pihak semua kakitangan Sin Chew Daily, kami menyusun 10 jari memohon jutaan maaf kepada semua rakyat Malaysia.
“Pindaan segera sudah dilakukan terhadap ilustrasi versi digital manakala ilustrasi dipinda dan disempurnakan akan diterbitkan semula hari ini dalam versi cetakan akhbar kami,” jelasnya.-UTUSAN