KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur berjaya merampas dadah bernilai RM118 juta dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini selepas melakukan 5,783 tangkapan dalam tempoh sama.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, rampasan dadah yang dibuat dalam tempoh tiga bulan pertama ini dilihat melebihi nilai rampasan sepanjang tahun lalu iaitu RM112.8 juta dengan 21,544 orang
“Berdasarkan tempoh kajian, tangkapan yang dilakukan pada tiga bulan pertama ini berkurangan berbanding tahun lalu, tetapi jumlah rampasan meningkat hampir tujuh kali ganda bagi tahun ini berbanding 2024.
“Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun lalu, sebanyak RM19.3 juta dadah berjaya dirampas dengan 5,977 orang ditahan,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Rusdi memberitahu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur sering melepasi petunjuk prestasi utama yang ditetapkan dalam melakukan operasi dan tangkapan dadah.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak boleh berputus asa dan berpuas hati kerana jabatan itu mesti meningkatkan lagi operasi mereka.
“Kejayaan yang dilakukan mesti dirasai oleh rakyat di Kuala Lumpur. Kita tidak mahu senario di mana jumlah kita baik tetapi realiti adalah sebaliknya,” jelasnya.
Beliau menambah, salah satu fokus utama JSJN Kuala Lumpur ialah menyasarkan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di pusat-pusat hiburan.
“Saya berharap ketua JSJN Kuala Lumpur yang baharu, Asisten Komisioner Zulkepli Hashim akan dapat menerajui operasi yang lebih berjaya menentang ancaman dadah.
“Saya yakin Zulkepli dapat memimpin jabatan itu ke tahap yang lebih tinggi memandangkan pengalamannya menerajui JSJN di Sabah hampir dua tahun,” katanya.
Terdahulu, Zulkepli secara rasmi memulakan tugas sebagai Ketua JSJN Kuala Lumpur yang baharu.
Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Superintenden Mohamad Alpiyang Ali, yang sebelum ini memegang jawatan itu sebagai pemangku. – UTUSAN