GUA MUSANG: Kenderaan dipandu hilang kawalan semasa cuaca hujan lebat dipercayai menjadi punca sebuah trak pikap dinaiki lima orang terbabas di atas jambatan sebelum terjunam kira-kira 40 meter ke dalam Sungai Belatop di Kilometer 80, Jalan Gua Musang-Lojing dekat Tanah Tinggi Lojing, di sini semalam.
Kemalangan kira-kira pukul 2.30 petang itu mengakibatkan penumpang hadapan kenderaan yang merupakan Orang Asli, Jali Harun, 50, meninggal dunia di lokasi selepas tersepit dan dihempap pintu kenderaan tersebut yang terbenam di dalam sungai.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati kejadian kemalangan berlaku ketika trak pikap itu dalam perjalanan dari arah Blue Valley menghala ke arah Gua Musang.
“Setiba di lokasi kemalangan, pemandu pikap hilang kawalan akibat hujan lebat dan air melintas jalan menyebabkan kenderaan itu terbabas masuk ke cerun serta jatuh ke dalam sungai.
“Pemandu dan penumpang belakang bertindak terjun untuk menyelamatkan diri. Mangsa yang berada di tempat duduk hadapan telah tersepit dan tidak berjaya keluar daripada kenderaan menyebabkannya lemas dan maut di lokasi kemalangan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN